Singa
| Singa Julat zaman:
| |
|---|---|
| Singa jantan di Namibia | |
| Singa betina di Namibia | |
| Pengelasan saintifik | |
| Domain: | Eukaryota |
| Alam: | Haiwan |
| Filum: | Chordata |
| Kelas: | Mammalia |
| Order: | Carnivora |
| Suborder: | Feliformia |
| Keluarga: | Felidae |
| Genus: | Panthera |
| Spesies: | P. leo
|
| Nama binomial | |
| Panthera leo (Linnaeus, 1758)
| |
| Subspesies | |
|
rujuk Subspesies P. l. leo P. l. atrox | |
| Taburan Panthera leo di Afrika dan Eurasia, dahulu hingga kini. | |
| Taburan singa di India: Hutan Gir dan kawasan sekitarnya di Gujarat merangkumi taburan semula jadi terakhir bagi singa Asia liar. | |
| Sinonim | |
|
Felis hai Linnaeus, 1758 | |
Singa ([si.nga], Jawi: سيڠا; Panthera leo) merupakan salah satu ahli genus Panthera, yakni sejenis kucing besar dalam keluarga Felidae (rumpun kucing). Ia tergolong sebagai spesies terjejas di Senarai Merah IUCN sejak tahun 1996 kerana populasi taburan Afrika merosot sebanyak 43% sejak 1990-an. Populasi singa sukar dipelihara di luar kawasan perlindungan. Biarpun punca kemerosotan tidak dipastikan sepenuhnya tetapi kehilangan habitat dan pertembungan dengan manusia paling merisaukan. Populasi singa Afrika Barat digolongkan sebagai spesies terancam genting sejak 2016. Satu-satunya populasi singa liar yang ada di Asia adalah daripada jenis singa Asia, singa Asia digolongkan sebagai spesies terancam sejak 1986.
Singa yang hidup liar jarang ada yang hidup lebih lama daripada 10–14 tahun, lebih-lebih lagi hayatnya dipendekkan lagi oleh kecederaan akibat bergaduh. Singa dalam tawanan mampu hidup menjangkau 20 tahun. Singa lazimnya hidup di kawasan savana dan padang rumput, bahkan juga di kawasan belukar dan hutan. Singa jauh lebih gemar hidup berkawanan berbanding dengan spesies-spesies keluarga kucing lain. Sekawan singa terdiri daripada betina-betina bersaudara dan anak-anak serta segelintir jantan dewasa. Singa betina sering memburu secara berkumpulan, rata-ratanya memangsakan haiwan ungulat utama. Singa bukan sahaja merupakan pemangsa terulung, bahkan juga mahir sebagai mencari bangkai sebaik peluang yang ada untuk memperoleh 50 peratus bekalan makanannya. Singa diketahui memburu manusia, tetapi itu bukan tabiat biasanya. Singa merupakan haiwan nokturnal; ia gemar tidur pada waktu siang dan bergiat pada waktu malam, lebih-lebih lagi pada waktu senja.
Singa jantan menonjol sekali rupanya dengan surai yang lebat, bahkan wajah singa jantan adalah simbol haiwan yang paling umum dikenali dalam budaya manusia. Wujudnya gambaran singa mulai usia Paleolitik Akhir dengan ukiran dan lukisan dari gua-gua Lascaux dan Chauvet di Perancis sejak 17,000 tahun dahulu, melalui hampir semua budaya zaman kuno dan pertengahan yang pernah mengenali singa. Singa digambarkan secara meluas dalam bentuk arca, lukisan, bendera, mahupun filem dan sastera moden. Singa dibela dalam kurungan sejak zaman Empayar Rom, malah dijadikan spesies yang "wajib" dipamerkan di zoo seluruh dunia sejak akhir abad ke-18. Taman-taman haiwan seluruh dunia bekerjasama mengadakan program pembiakan untuk singa Asia yang terancam.