Pythia

Pythia (sebutan: [piθiɑ]; Bahasa Yunani Kuno: Πυθία [pyːˈtʰíaː]; Jawi: ڤيثيا) merupakan gelaran bagi pendeta tinggi wanita Kuil Apollo di Delphi. Dia khususnya berkhidmat sebagai ahli ramal atau takahun kuil tersebut dan dikenali sebagai Takahun Delphi (Jawi: تكهن ديلفي). Gelarannya juga dalam sejarah digloskan dalam bahasa Inggeris sebagai Pythoness.

Pangkat Pythia telah mantap selewatnya pada abad ke-8 SM, (namun beberapa anggaran menarikhkan kuilnya dari seawal 1400 SM), dan terkenal dengan ramalannya yang diucapkan semasa dewa Apollo merasuknya (enthusiasmos). Pendeta wanita Pythia menjadi kedudukan yang tinggi menjelang akhir abad ke-7 SM dan terus dirujuk sehingga lewat abad ke-4 M. Dalam tempoh ini, Takahun Delphi merupakan takahun yang paling berprestij dan berwibawa di kalangan orang Yunani, dan beliau merupakan antara wanita paling berkuasa di dunia klasik. Takahun merupakan salah satu institusi keagamaan Yunani klasik yang paling banyak didokumentasikan. Penulis yang menyebut tentang takahun termasuk Aeschylus, Aristotle, Clement dari Alexandria, Diodorus, Diogenes, Euripides, Herodotus, Julian, Justin, Livy, Lucan, Nepos, Ovid, Pausanias, Pindar, Plato, Plutarch, Sophocles, Strabo, Thucydides, dan Xenophon.

Walau bagaimanapun, butiran tentang cara Pythia beroperasi adalah nadir, hilang, atau tidak wujud, kerana penulis-penulis dari zaman klasik (abad ke-6 hingga ke-4 SM) menganggap proses itu sebagai pengetahuan umum yang tidak perlu dijelaskan. Mereka yang membincangkan takahun ini dengan terperinci adalah dari abad ke-1 SM hingga ke-4 M dan memberikan cerita-cerita yang bercanggah. Salah satu cerita utama mendakwa bahawa Pythia menyampaikan ramalannya dalam keadaan gila yang disebabkan oleh wap yang naik daripada celah di batu, dan bahawa dia bercakap mengarut yang ditafsirkan oleh pendeta-pendeta sebagai ramalan yang penuh misteri dan diubah menjadi puisi heksameter daktilik yang terpelihara dalam kesusasteraan Yunani. Idea ini, bagaimanapun, telah dicabar oleh sarjana seperti Joseph Fontenrose dan Lisa Maurizio, yang berhujah bahawa sumber-sumber kuno rata-rata menyatakan Pythia bercakap dengan jelas, dan memberikan ramalan dengan suaranya sendiri. Herodotus, menulis pada abad kelima SM, menerangkan Pythia bercakap dalam heksameter daktilik.