Euripides

Euripides
Patung kepala Euripides
Kelahirans. 480 SM
Salamis
Meninggal dunias. 406 SM (sekitar umur 74 tahun)
PekerjaanPenulis drama
Karya terkenal
  • Medea, 431 SM
  • Hippolytus, 428 SM
  • Electra, s. 420 SM
  • Wanita-Wanita Troia, s. 415 SM
  • Bacchae, 405 SM
Pasangan
  • Melite
  • Choerine
Ibu bapaMnesarchus
Cleito

Euripides (Bahasa Yunani Kuno: Eὐριπίδης Mνησαρχίδου Φλυεύς, Eurīpídēs Mnēsarchídou Phlyeús, Error: {{AFA}}: unrecognized language tag: [eu̯.riː.pí.dɛːs]; Jawi: يوريڤيديس) (s. 480 – s. 406 SM) ialah seorang penulis tragedi Yunani dari Athens klasik. Bersama Aeschylus dan Sophocles, beliau ialah salah satu daripada tiga penulis tragedi Yunani Purba yang mana karya mereka masih utuh sepenuhnya. Beberapa sarjana purba menyandarkan sebanyak 95 buah drama kepada beliau, tetapi menurut Suda, jumlah maksimum hanyalah 92. Daripada jumlah ini, 18 atau 19 buah terpelihara dalam keadaan hampir lengkap (Rhesus diragui kesahihannya). Banyak serpihan (ada yang panjang) daripada drama beliau yang lain juga masih wujud. Lebih banyak drama Euripides yang masih elok berbanding Aeschylus dan Sophocles digabungkan, sebahagiannya kerana popularitinya meningkat apabila kepopularan dua orang yang lain ini menurun—beliau menjadi tonggak pendidikan sastera purba dalam Zaman Helenistik, bersama Homer, Demosthenes, dan Menander.

Euripides dikatakan telah membuat inovasi pentas yang begitu banyak mempengaruhi drama hingga ke zaman moden, terutamanya dalam penggambaran wira mitos tradisional sebagai orang biasa dalam keadaan luar biasa. Pendekatan baru ini mendorong kepada perkembangan awal yang kemudian diadaptasi oleh penulis lain dalam komedi, dan sesetengahnya menjadi ciri kepada roman. Beliau juga dikenali sebagai "penyair yang paling tragik", kerana tumpuannya kepada kehidupan dalaman dan motivasi watak dengan cara yang belum pernah dilihat sebelumnya. Beliau digambarkan sebagai "pencipta ... sangkar yang menjadi pentas untuk Othello karya Shakespeare, Phèdre karya Racine, juga karya Ibsen dan Strindberg," tempat "lelaki dan wanita yang terpenjara menghancurkan satu sama lain kerana cinta dan kebencian mereka yang begitu mendalam". Namun, beliau juga dianggap sebagai moyang sastera kepada penulis komedi seperti Menander dan George Bernard Shaw.

Dikenali di kalangan penulis Athens klasik kerana simpati luar biasanya terhadap mangsa masyarakat, termasuk wanita, hamba atau orang luar, para sezamannya mengaitkan beliau dengan Socrates sebagai peneraju intelektualisme yang merosot. Kedua-duanya sering menjadi sasaran sindiran oleh penulis komedi seperti Aristophanes. Socrates akhirnya diadili dan dihukum mati kerana didakwa merosakkan masyarakat. Biografi purba menyatakan bahawa Euripides memilih untuk membuang diri pada usia tua dan meninggal dunia di Makedonia, namun sarjana moden kini mempersoalkan kesahihan sumber tersebut.