King Charles spaniel

King Charles spaniel
Warna King Charles
Nama lainSpaniel mainan Inggeris
Spaniel mainan
Charlie
Prince Charles spaniel
Ruby spaniel
Blenheim spaniel
Negara asalGreat Britain
Trait
Berat 8–14 lb (3.6–6.4 kg)
Tinggi 9–11 in (23–28 cm)
Warna King Charles (hitam dan sawo matang), Prince Charles (putih dengan tompok-tompok hitam dan sawo matang), Blenheim (putih dengan tompok-tompok merah), Ruby (merah)
Saiz perinduk 5 ekor
Anjing (Canis lupus familiaris)

King Charles spaniel atau spaniel mainan Inggeris ialah satu baka anjing daripada jenis spaniel. Pada tahun 1903, The Kennel Club menggabungkan empat baka spaniel mainan berlainan di bawah satu judul tunggal ini. Keragaman lain yang bergabung menjadi baka ini ialah Blenheim spaniel, Ruby spaniel, dan Prince Charles spaniel, setiap satu menyumbangkan salah satu daripada empat warna lapis bulu yang kini terlihat pada baka ini.

Spaniel mainan awal, yang disangkakan berasal dari Asia Timur dan mungkin diperoleh oleh pedagang Eropah melalui Laluan Rempah, pertama kali dilihat di Eropah pada abad ke-16. Ia menjadi berkait dengan kerabat diraja Inggeris semasa pemerintahan Ratu Mary I (1553–1558), lalu memperoleh namanya setelah dimasyhurkan dengan kaitannya dengan Raja Charles II. Dengan pemerintahan dalam tempoh tahun 1660–1685, Charles II memiliki banyak anjing kecil yang mengiringi baginda dan rombongan pengiring dalam urusan harian. Anjing baka ini juga pernah dimiliki oleh Ratu Victoria (Dash) dan cicit baginda Duchess Agung Anastasia Nikolaevna dari Rusia.

King Charles spaniel moden dan jenis spaniel mainan lain berkemungkinan merupakan hasil pembiakbakaan silang spaniel bersejarah dengan baka Asia Timur lain (seperti chin Jepun, anjing Peking, dan pug) pada awal abad ke-19. Ini dilakukan terutamanya untuk mengurangkan saiz hidung dan muncung mengikuti gaya zaman itu. Pada abad ke-20, terdapat usaha untuk memulihkan susur galur King Charles spaniel kepada baka dari zaman Charles II. Ini termasuk spaniel pemukat mainan yang tidak berjaya dan cavalier King Charles spaniel yang kini popular. Cavalier King Charles spaniel lebih besar sedikit dengan kepala rata dan hidung lebih panjang, sementara King Charles spaniel adalah lebih kecil dengan kepala berkubah dan muka rata.

Dahulu, baka-baka yang bergabung dengan King Charles spaniel digunakan untuk perburuan; kerana tingginya, ia tidak sesuai. Ia telah mengekalkan naluri perburuannya, tetapi tidak mempamerkan paras tenaga tinggi dan lebih sesuai sebagai anjing riba. Baka moden ini terdedah kepada beberapa masalah kesihatan, termasuk keadaan jantung dan pelbagai isu mata.