Anjing
| Anjing Julat zaman: Pleistosen Akhir (14,200 tahun lalu) hingga kini
| |
|---|---|
Dibelajinakkan
| |
| Pengelasan saintifik | |
| Domain: | Eukaryota |
| Alam: | Haiwan |
| Filum: | Chordata |
| Kelas: | Mammalia |
| Order: | Carnivora |
| Suborder: | Caniformia |
| Keluarga: | Canidae |
| Genus: | Canis |
| Spesies: | C. familiaris
|
| Nama binomial | |
| Canis familiaris Linnaeus, 1758
| |
| Sinonim | |
|
Senarai
| |
Anjing (Jawi: انجيڠ; Canis familiaris atau Canis lupus familiaris) ialah keturunan bela jinak bagi serigala kelabu. Anjing, yang juga dipanggil anjing bela jinak atau anjing domestik, dibiakbakakan secara terpilih daripada suatu populasi serigala semasa Pleistosen Akhir oleh pemburu-pengumpul. Anjing ialah spesies pertama yang dibelajinakkan pada lebih daripada 14,000 tahun lalu, iaitu sebelum kemajuan pertanian. Oleh sebab perkaitan panjangnya dengan manusia, anjing telah memperoleh kebolehan untuk hidup berkembang dengan diet kaya kanji yang sepatutnya tidak cukup untuk canid lain.
Anjing telah dibiakbakakan untuk pelbagai tingkah laku, kemampuan deria, dan atribut fizikal yang diingini. Baka anjing sangat berbeza-beza dari segi rupa bentuk, saiz, dan warna. Ia mempunyai struktur bilangan tulang sama (dengan pengecualian ekor), rahang berkuasa yang menempatkan sekitar 42 batang gigi, dan deria cukup terbentuk bagi penghiduan, pendengaran, dan penglihatan. Berbanding dengan manusia, anjing mempunyai deria bau dan pendengaran lebih tajam, tetapi ketajaman penglihatan lebih rendah. Anjing memainkan banyak peranan untuk manusia, seperti perburuan, penggembalaan, penarikan muatan, perlindungan, pendampingan, terapi, pembantu orang kurang upaya, dan pembantu polis dan pihak tentera.
Komunikasi pada anjing termasuk renungan mata, ekspresi muka, penyuaraan, postur badan (termasuk pergerakan tubuh dan anggota), dan komunikasi pengecapan (bau, feromon, dan kecapan). Ia menandai wilayahnya dengan mengencingi wilayah tersebut, yang lebih berkemungkinan apabila memasuki persekitaran baharu. Selama beralaf-alaf, anjing telah menjadi tersesuai secara unik terhadap tingkah laku manusia; adaptasi ini termasuk kebolehan untuk memahami manusia dan berkomunikasi dengan manusia. Oleh itu, ikatan manusia–anjing telah menjadi topik kajian kerap dan pengaruh anjing terhadap kemasyarakatan manusia telah memberinya nama gelaran "sahabat baik manusia".
Populasi anjing global dianggarkan pada 700 juta ekor hingga 1 bilion ekor anjing, yang tertabur di seluruh dunia. Anjing ialah haiwan peliharaan paling popular di Amerika Syarikat, yang hadir dalam 34–40% daripada jumlah isi rumah. Negara-negara maju merangkumi hampir-hampir 20% daripada populasi anjing global sementara sekitar 75% daripada jumlah anjing dianggarkan berasal dari negara-negara membangun, terutamanya dalam bentuk anjing jalang dan anjing komuniti.