Baka anjing

Baka anjing ialah jenis khusus anjing yang sengaja dibiakbakakan oleh manusia untuk melaksanakan tugas spesifik, seperti penggembalaan, perburuan, dan penjagaan. Anjing ialah mamalia paling beragam di Bumi, dengan pemilihan buatan yang menghasilkan lebih daripada 360 baka yang diiktiraf di peringkat global. Baka-baka ini memiliki trait berlainan yang berkaitan dengan morfologi, yang termasuk saiz dan rupa bentuk tubuh, fenotip ekor, jenis bulu, dll., tetapi kesemuanya hanya satu spesies anjing. Trait-trait tingkah lakunya termasuk penjagaan, penggembalaan, dan perburuan dan trait-trait keperibadian pula adalah seperti tingkah laku hipersosial, kegalakan, dan agresi. Kebanyakan baka diterbitkan daripada bilangan kecil bagi pengasas dalam tempoh 200 tahun terkini. Sebagai hasil daripada kebolehsuaiannya terhadap banyak persekitaran dan kebolehbiakannya untuk keperluan manusia, kini, anjing ialah spesies karnivor terbanyak dan tersebar di seluruh dunia.

Baka anjing setekalnya menghasilkan trait fizikal, pergerakan, dan perangai yang dikembangkan selama berdekad-dekad pembiakbakaan terpilih. Untuk setiap baka yang diiktiraf, kelab kenel dan pejabat pendaftaran baka biasanya menyelenggarakan dan menerbitkan piawaian baka yang merupakan perihal bertulis tentang spesimen unggul bagi baka berkenaan. Kegunaan lain istilah "baka" apabila merujuk anjing termasuk baka tulen, baka silang, baka kacuk, dan baka semula jadi.

Sebelum pemiawaian baka anjing, terdapat banyak jenis anjing berlainan yang ditakrifkan oleh fungsi unik sendiri. Banyak istilah berlainan digunakan untuk memerihalkan anjing, seperti baka, strain, jenis, ragam, dan varieti. Menjelang penghujung era Victoria, masyarakat telah berubah dan demikian juga peranan anjing. Bentuk diberi peranan lebih menonjol berbanding dengan fungsi. Jenis atau baka anjing berlainan dikembangkan oleh pembiak baka yang ingin mentakrifkan ciri spesifik dan ciri yang diingini pada anjing mereka. Istilah "baka anjing", yang didorong oleh pertunjukan anjing dan kumpulan yang menganjurkannya, membawa maksud baharu sepenuhnya. Pertandingan pertunjukan anjing termasuk pemenang terbaik dalam baka dan baka tulen banyak menang. Piawaian baka ialah sebab bahawa baka muncul dan, dengan piawaian tersebut, terdapat ciri kekunci, termasuk bentuk, fungsi, dan kesesuaian untuk tujuan. The Kennel Club di United Kingdom diasaskan pada tahun 1873 dan merupakan kelab kenel dan pejabat pendaftaran baka kebangsaan pertama di dunia. Persekutuan Kinologi Antarabangsa diasaskan pada tahun 1911 sebagai pertubuhan sedunia. Objektifnya adalah untuk membawa keseragaman global kepada pembiakbakaan, pameran, dan penghakiman anjing baka tulen. Pertubuhan ini kini mempunyai 99 buah negara anggota. Menurut Big Think, lebih daripada 40% daripada jumlah baka anjing di dunia berasal dari United Kingdom, Perancis, dan Jerman. Pernyataan lebih kurang berbunyi: "Great Britain dan Perancis merupakan titik permulaan untuk minat kepada anjing, sambil masing-masing negara mempunyai 57 baka berdaftar. Jerman tidak ketinggalan jauh, dengan 47 baka. Ketiga-tiga negara ini sahaja mewakili lebih daripada 40% daripada semua baka anjing yang diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa."