Indulgensi
| Bahagian dari siri tentang |
| Gereja Katolik |
|---|
| Ikhtisar |
| Buku Katolik Rom |
| Portal Katolik |
Dalam agama Kristian Roman Katolik, indulgensi (bahasa Inggeris: indulgence, lit. 'pengampunan'; Latin: indulgentia, lit. 'pelepasan') ialah cara untuk mengurangkan atau menghapuskan hukuman bagi dosa yang sudah diampunkan. Katekismus Gereja Katolik, buku yang meringkaskan kepercayaan asas mazhab Katolik, menakrifkannya "peringanan hukuman sementara daripada Tuhan untuk dosa-dosa yang kesalahannya telah diampuni, yang diperoleh oleh orang Kristian yang betul-betul sedia menerima dengan syarat-syarat tertentu…"
Pendosa yang diampunkan, dalam agama Kristian, tetap perlu dihukum selama satu tempoh untuk menebus dosa tersebut di dalam neraka sementara/api penyucian, kemudian mereka dapat memasuki syurga. Sementara dosa besar boleh diampuni sepenuhnya dengan membuat sakramen dan taubat, dosa kecil akan kekal dan perlu disucikan di neraka sementara. Penerima indulgensi mesti melakukan perbuatan atau doa tertentu demi menebusnya, seperti berhijrah, menziarah tempat suci atau membuat kerja-kerja amal. Tambahan pula, indulgensi hanya boleh diberikan oleh pihak Gereja, yang dipercayai mendapat izin Tuhan untuk memberikan indulgensi.
Indulgensi bukanlah izin untuk melakukan dosa sesuka hati. Ia cuma menghapuskan sebahagian atau semua hukuman disebabkan dosa. Indulgensi tidak mengampuni dosa, dosa diampuni melalui penyesalan yang mendalam dan sakramen pengakuan, dan seseorang mesti tiada dosa besar untuk mendapat penebusan. Barulah hukuman sementara atas dosa yang diampuni itu dapat dihapuskan.