Sejarah kepausan
Dalam ajaran Katolik, Paus ialah ketua Gereja Katolik dan jawatan ini dikenali sebagai kepausan. Sejarah kepausan bermula sejak zaman Santo Petrus yang dipercayai sebagai Paus pertama sehinggalah ke hari ini.
Pada peringkat awal, iaitu dalam tiga abad pertama selepas kelahiran agama Kristian, para Paus yang menggantikan Petrus tidak begitu dikenali. Ramai antara mereka terbunuh sebagai martir, iaitu dibunuh kerana kepercayaan mereka semasa zaman penindasan terhadap orang Kristian. Pada zaman itu juga, Paus tidak mempunyai kuasa politik. Kuasa duniawi atau pemerintahan hanya mula dimiliki oleh Paus selepas zaman Maharaja Konstantin I, iaitu apabila agama Kristian diiktiraf oleh kerajaan Rom. Selepas kejatuhan Empayar Rom Barat sekitar tahun 476 Masihi, kepausan mula dipengaruhi oleh pemerintah dunia seperti bangsa Ostrogoth, Byzantine dan Frankish. Sepanjang zaman pertengahan, Gereja Katolik mula menguasai beberapa wilayah di Itali yang dikenali sebagai Negeri-negeri Kepausan (Papal States). Dalam tempoh ini juga, kuasa Paus kadangkala dipengaruhi oleh keluarga-keluarga bangsawan di Rom termasuk ketika zaman saeculum obscurum, zaman Crescentii dan Kepausan Tusculan.
Antara tahun 1048 hingga 1257, berlaku banyak konflik antara Paus dengan pemerintah dunia terutamanya Empayar Rom Suci dan Empayar Byzantine (Rom Timur). Salah satu kesan besar daripada konflik ini ialah Perpecahan Timur-Barat yang menyebabkan Gereja Katolik terpisah dengan Gereja Ortodoks Timur. Antara tahun 1257 hingga 1377, walaupun Paus masih bergelar Uskup Rom, tetapi mereka tidak tinggal di Rom. Mereka berpindah ke beberapa bandar lain seperti Viterbo, Orvieto, Perugia dan akhirnya menetap di Avignon, Perancis – satu tempoh yang dikenali sebagai kepausan Avignon. Apabila Paus kembali semula ke Rom, berlaku satu lagi perpecahan besar dikenali sebagai Perpecahan Barat (Western Schism) di mana lebih daripada satu individu mendakwa sebagai Paus pada masa yang sama.
Masuk ke zaman Renaissance, Paus dikenali kerana menyokong seni bina dan karya seni hebat seperti pembinaan Gereja Santo Peter. Dalam masa yang sama, mereka turut terlibat secara aktif dalam politik Eropah. Selepas bermulanya Reformasi Protestan, Gereja Katolik cuba mempertahankan kedudukannya melalui gerakan Counter-Reformation di bawah pimpinan Paus. Pada zaman Revolusi, khususnya Revolusi Perancis]], banyak harta dan kekayaan Gereja dirampas. Ia antara kerugian paling besar dalam sejarah Gereja. Akhirnya, apabila Itali disatukan sebagai sebuah negara moden, Gereja kehilangan kuasa politik sepenuhnya ke atas Negeri-negeri Kepausan.
Namun begitu, isu ini diselesaikan melalui satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Lateran pada tahun 1929 yang membawa kepada penubuhan Negara Kota Vatikan, iaitu sebuah negara kecil yang menjadi pusat rasmi Gereja Katolik dan tempat tinggal rasmi Paus hingga ke hari ini.
| This article is part of a series on |
| Vatican City |
|---|
|