Faizal Hussein

Faizal Hussein
Faizal Hussein di majlis tayangan perdana filem Kalla: Hidup Atau Mati pada Oktober 2018.
Kelahiran
Mohd Faizal bin Hussein

(1967-05-31) 31 Mei 1967
WarganegaraMalaysia
PekerjaanPelakon
Tahun aktif1972 - kini
Terkenal keranaWatak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja dan Watak Walid dalam drama Bidaah
Karya
Filemografi
PasanganSuhaila Sulaiman (k. 2004)
Anak-anak2
IbuAllahyarhamah Mahyon Ismail
BapaAllahyarham Hussein Abu Hassan
Saudara

Mohd Faizal Hussein (lahir 31 Mei 1967) ialah seorang pelakon Malaysia. Dikenali dengan hasil karyanya dalam filem dan televisyen, beliau menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam kerjaya lakonannya termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin dan Festival Filem Malaysia. Harian Metro menyenaraikan beliau sebagai salah seorang daripada 10 pelakon senior Malaysia paling laris sepanjang zaman pada tahun 2019.

Dilahirkan dan dibesarkan di daerah Gombak, dalam kawasan Lembah Kelang, Selangor, seluruh ahli keluarga beliau berkecimpung dalam bidang seni kreatif. Beliau ialah anak kepada pasangan pelakon veteran Hussein Abu Hassan dan isterinya, Mahyon Ismail dan sepupu kepada aktor Rosyam Nor. Faizal Hussein memegang peranan kecil pada usia 5 tahun dalam filem Darah Panglima (1972) arahan S. Kadarisman, diikuti oleh Penyamun Si Bongkok (1973) arahan M. Amin. Filem-filem terkenal beliau termasuk Gila-Gila Remaja (1986), Bayangan Maut dan Kanta Serigala (1991), XX Ray (1992), Leftenan Adnan (2000), KL Menjerit dan Gerak Khas The Movie II (2002), Bunohan (2012), Longkai (2013), Manisnya Cinta Di Cappadoccia (2014) dan Dukun (2018). Antara drama-drama lakonan Faizal ialah Fitrah Khadijah (1999), Sembilu (2004), Senja Permai (2009), Lara Hati (2012), Jiwa (2014), Devoted (2019), I-Tanggang: Mother Of All Lies (2021), One Cent Thief (2022 - 2025) dan Bidaah (2025).

Kerjaya antarabangsanya bermula dengan membintangi filem Hong Kong, Fighting Madam 2 (1988) dan filem Indonesia, Misteri Harta Karun (1989). Beliau turut membintangi sebuah siri drama British-Amerika, Strike Back: Revolution (2019). Melangkaui kerjaya lakonan, Faizal Hussein melancarkan autobiografi pertamanya, Limelight pada tahun 2012, yang mengisahkan tentang corat-coret dunia perfileman daripada perspektif beliau. Dengan kerjaya yang melangkaui selama lima dekad, Faizal Hussein telah diiktiraf sebagai antara pelakon yang paling disegani dalam industri hiburan Malaysia.