Taoisme

Taoisme
Aksara Cina , yang mewakili Tao dan sering diterjemah sebagai 'jalan', 'laluan', 'teknik', atau 'doktrin'
Nama Bahasa Cina
Bahasa Cina道教
Hanyu PinyinDàojiào
Maksud harfiah"Agama Jalan"
Vietnamese name
Vietnamese alphabetĐạo giáo
Chữ Hán道教
Korean name
Hangul도교
Hanja道敎
Nama Jepun
Kanji道教

Taoisme atau Daoisme (/ˈt.ɪzəm/ ( dengar), /ˈd.ɪzəm/ ( dengar)) ialah tradisi falsafah dan keagamaan yang berasal dari China, menekankan keharmonian dengan Tao Bahasa Cina: (pinyin: dào; Wade–Giles: tao4). Dalam falsafah Cina, Tao membawa pelbagai makna termasuk 'jalan', 'laluan', 'cara', atau 'teknik', dan biasanya difahami dalam konteks Taoisme sebagai suatu proses transformasi yang misteri dan menjadi asas kepada realiti utama.

Fikiran Taois telah mempengaruhi perkembangan pelbagai amalan dalam tradisi Taoisme, termasuk bentuk meditasi, astrologi Cina, qigong, feng syui, dan alkimia dalaman seperti Neidan. Matlamat umum dalam amalan Taoisme ialah pembangunan diri, penghargaan yang lebih mendalam terhadap Tao, dan kewujudan yang lebih harmoni. Etika Taois berbeza-beza, namun lazimnya menekankan nilai seperti keaslian, kesederhanaan, dan tiga harta iaitu belas kasihan, kesederhanaan, dan rendah hati.

Inti pemikiran Taois terbentuk pada awal Zaman Negeri Berperang (s. 450 – s. 300 SM), semasa teks epigramatik Tao Te Ching dan teks anekdotik Zhuangzi yang dianggap sebagai teks asas falsafah Taoisme sebahagian besarnya dikarang. Kedua-dua teks ini membentuk asas kepada kumpulan tulisan Taois yang berkembang pada abad-abad berikutnya, dan dihimpunkan oleh para sami ke dalam kanun Daozang bermula pada abad ke-5 Masehi.

Taoisme awal dipengaruhi oleh pelbagai sumber, termasuk agama negara Shang dan Zhou, Aliran Semula Jadi, Mohisme, Konfusianisme, pelbagai teori Legalist, serta teks seperti I Ching dan Annals Musim Bunga dan Luruh.

Taoisme dan Konfusianisme berkembang dengan perbezaan yang ketara. Taoisme menekankan sifat semula jadi dan spontan dalam pengalaman manusia, manakala Konfusianisme melihat institusi sosial,.keluarga, pendidikan, komuniti dan negara sebagai penting untuk perkembangan moral dan kesejahteraan manusia. Namun, kedua-duanya tidak dianggap saling bertentangan, malah berkongsi banyak pandangan tentang "kemanusiaan, masyarakat, pemerintah, langit, dan alam semesta".

Hubungan antara Taoisme dan Buddhisme setelah pengenalan agama itu ke China dicirikan sebagai saling mempengaruhi, dengan wacana panjang lebar dikongsi antara penganut Taois dan Buddha. Tradisi Mahayana yang tersendiri seperti Zen, yang muncul semasa Dinasti Tang (607–917), turut menggabungkan banyak unsur daripada Taoisme.

Banyak mazhab Taoisme mengiktiraf kewujudan dewa-dewi, sering kali dikongsi dengan tradisi lain, yang dihormati sebagai tokoh luar biasa yang mencerminkan nilai Taoisme. Tokoh-tokoh ini boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu "tuhan" dan xian (仙) atau "mahluk abadi". Xian merupakan makhluk abadi dengan kuasa ghaib yang hebat, tetapi juga menggambarkan individu yang bermoral dan berprinsip. Oleh kerana pemikiran Taoisme bersifat sinkretik dan telah berakar umbi dalam budaya Cina selama ribuan tahun, sering kali sukar untuk menentukan mazhab mana yang wajar dianggap sebagai benar-benar "Taois".

Status daoshi, atau 'guru Taois', secara tradisinya hanya dikaitkan dengan golongan klerus dalam organisasi Taois, yang membezakan tradisi mereka daripada agama rakyat Cina. Walaupun umumnya tidak cenderung kepada hierarki yang ketat, falsafah Taois sering dijadikan asas teori dalam politik, ketenteraan, dan organisasi Taois. Masyarakat rahsia Taois pernah mencetuskan Pemberontakan Serban Kuning pada penghujung Dinasti Han, dalam usaha membentuk apa yang dianggap sebagai sebuah teokrasi Taois.

Pada hari ini, Taoisme ialah salah satu daripada lima doktrin keagamaan yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan China, dan turut mendapat pengiktirafan rasmi di Hong Kong dan Macau. Ia dianggap sebagai agama utama di Taiwan, dan mempunyai jumlah penganut yang ketara di seluruh dunia Sinosfera dan Asia Tenggara. Di Barat, Taoisme telah mengambil pelbagai bentuk, baik yang mengekalkan amalan sejarah, mahupun yang telah disintesis secara besar-besaran dan digolongkan sebagai gerakan agama baharu.