Kerbau

Kerbau
Pengelasan saintifik
Domain: Eukaryota
Alam: Haiwan
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Keluarga: Bovidae
Genus: Bubalus
Spesies:
B. bubalis
Nama binomial
Bubalus bubalis
(Kerr, 1792)

Kerbau (Jawi: کرباو) atau secara lebih tepatnya kerbau bela jinak Asia (nama saintifik: Bubalus bubalis) merupakan sejenis haiwan daratan besar dalam keluarga Bovidae yang berasal dari Asia Selatan, Asia Tenggara, dan China. Ia mungkin dibiakbakakan secara terpilih daripada spesies Bubalus arnee yang juga berasal dari Asia Tenggara; Kini spesies ini juga ditemui di Eropah, Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan dan beberapa buah negara Afrika. Kerbau diternak untuk petani membajak sawah dan mendapatkan susunya, susunya lebih kaya dengan lemak dan protein daripada susu yang diperah daripada lembu. Terjadinya kawanan kerbau jalang di Australia Utara sejak abad ke-19, malah juga terdapat kawanan jalang lain di New Guinea, Tunisia, dan Amerika Selatan.

Wujud sekurang-kurangnya 130 juta ekor kerbau bela jinak, dan lebih ramai orang yang bergantung pada kerbau daripada mana-mana haiwan bela jinak yang lain. Ada dua jenis kerbau yang dikenalpasti berasaskan kriteria morfologi dan kelakuan, iaitu kerbau sungai dari Asia Selatan ke barat hingga rantau Balkan, Mesir, dan Itali, dan kerbau paya yang ditemui dari Assam di barat melalui Asia Tenggara hingga ke lembah Sungai Panjang di timur tanah besar China. Dibahaskan asal-usul setiap jenis kerbau, namun hasil kajian filogenetik menunjukkan bahawa jenis paya mungkin berasal dari China dan dibela jinak kira-kira 4,000 tahun dahulu, sedangkan jenis sungai mungkin berasal dari India dan dibela jinak kira-kira 5,000 tahun dahulu. Kerbau diperdagangkan dari tamadun Lembah Indus ke Mesopotamia, di Iraq moden, oleh suku Meluhha pada 2500 SM. Mohor katib upahan raja Akkad memaparkan upacara pengorbanan kerbau.