Sharnaaz Ahmad

Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz ditemuramah dalam rancangan MeleTOP di Astro Ria pada 26 Mei 2015.
Kelahiran
Sharnaaz Ahmad bin Basir Ahmad

(1985-08-30) 30 Ogos 1985
PendidikanPerakaunan Perniagaan
Pusat pendidikanKolej Polytech MARA
PekerjaanPelakon, pengacara, pengarah, penerbit
Tahun aktif2009–kini
Ketinggian1.80 m (5 ka 11 in)
PasanganNoor Nabila
Mohd Noor
(k. 2017; c. 2020)
Anak-anakJebat Jayden Ahmad Sharnaaz Ahmad
(anak lelaki)
Ibu bapa
  • Dato' Basir Ahmad Nazir Ahmad (bapa)
  • Dato' Marina Puteh (ibu)

Sharnaaz Ahmad bin Dato' Basir Ahmad (lahir 30 Ogos 1985) ialah seorang pelakon, pengacara, pengarah dan penerbit lelaki Malaysia. Beliau memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2009 menerusi watak pembantu dalam drama bersiri Tari Tirana arahan Shahrulezad Mohameddin sebelum diberi watak yang lebih besar dalam drama bersiri komedi K.I.T.A. dan Dottie pada tahun 2010. Biarpun bermula menerusi watak ringan, nama Sharnaaz mula meniti bibir peminat apabila pengarah Michael Ang memberi peluang kepadanya membawa watak serius sebagai Afandi dalam telefilem Ungunya Cinta. Sejak itu, Sharnaaz telah membintangi beberapa siri drama televisyen terkenal seperti Bukan Bidadari (2012), Bukan Kerana Aku Tak Cinta (2013), Suamiku Encik Sotong (2014), Mencintaimu (2015), Mr. Hijab (2017), Cinta Bukan Kristal (2018), Lelakimu Yang Dulu (2019) dan I Promise Janji Anaqi (2021). Beliau membuat penampilan sulungnya di layar lebar menerusi filem Seru (2011) sebelum membintangi dalam beberapa filem seperti Juvana (2013), Sembunyi: Amukan Azazil (2013), Dollah Superstar (2014), Gila Baby (2014), Jebat (2020), Polis EVO 3 (2023) dan Blood Brothers: Bara Naga (2025).

Sharnaaz mula menduduki kerusi pengarah dengan mengarahkan telefilem pertamanya, Lukisan Cinta (2017) yang mana beliau sendiri turut berlakon. Beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit untuk telefilem Raya Talak Satu dan Jangan Masuk Rumahku. Sepanjang kerjaya lakonannya, beliau cukup dikenali dengan watak-watak antagonis serta antihero dan telah bekerjasama dengan ramai pelakon seangkatannya seperti Amar Baharin, Farid Kamil, Nelydia Senrose, Nad Zainal dan Emma Maembong selain dikaitkan dengan banyak isu dan kontroversi. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan atas bakat lakonannya, antaranya ialah Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin, Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur dan Anugerah MeleTOP Era.