Reog
| Nama asli | bahasa Jawa: ꦫꦺꦪꦺꦴꦒ꧀, translit. Réyog |
|---|---|
| Alat muzik | Gamelan |
| Asal usul | Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia |
Reog (bahasa Jawa: ꦫꦺꦪꦺꦴꦒ꧀, translit. Réyog) ialah tarian tradisional Jawa yang berasal daripada Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia. Reog menggambarkan kisah Kerajaan Bantarangin dan rajanya yang bernama Klono Sewandono. Para penari Reog meliputi tokoh-tokoh seperti Warok, Jathil (Kuda Kepang), Bujangga Anom (Pujangga Anom), Klono Sewandono, dan Singo Barong (Dadak Merak). Reog dicirikan oleh Dadak Merak, topeng besar menyerupai kepala harimau dengan burung merak di atasnya. Tarian ini diiringi alat-alat muzik seperti saron, kendang, kenong, bonang, gong, slompret, dan angklung. Reog bermula sejak lebih dari dua abad, terbukti dari teks sejarah seperti manuskrip Serat Centhini. Tarian Reog dipersembahkan dalam pelbagai majlis seperti upacara mengelak bencana, acara pembersihan kampung, perkahwinan, hari kebesaran Islam dan kebangsaan, berkhatan, upacara kesyukuran, perayaan awam dan menyambut tetamu.
Tarian Reog Ponorogo telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kebangsaan Indonesia pada tahun 2013. Pada tanggal 3 Disember 2024, seni persembahan Reog Ponorogo telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage) UNESCO yang memerlukan perlindungan segera (Need of Urgent Safeguarding). Seni persembahan Reog Ponorogo ini menjadi salah satu daripada 16 warisan budaya tidak ketara Indonesia yang telah diiktiraf oleh UNESCO selain daripada Wayang, Keris, Batik, Angklung, Tarian Saman, Noken, Tarian Bali, Pinisi, Pencak Silat, Pantun, Gamelan, Jamu, Kebaya, dan Kolintang.