Puteri Gunung Ledang (filem 2004)
| Puteri Gunung Ledang | |
|---|---|
Poster promosi | |
| Pengarah | Saw Teong Hin |
| Penulis |
|
| Lakon layar | Saw Teong Hin |
| Dihasilkan oleh |
|
| Dibintangi | |
| Sinematografi | Jason Kwan |
| Disunting oleh | Kate James |
| Muzik oleh |
|
Syarikat penerbitan | |
| Diedarkan oleh | Rossellini & Associates |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 145 minit |
| Negara | Malaysia |
| Bahasa | |
| Bajet | RM 20 juta |
| Pecah panggung | RM 2.9 juta |
Puteri Gunung Ledang (disingkat sebagai PGL; juga dikenali sebagai Princess of Mount Ledang untuk pasaran antarabangsa) merupakan sebuah filem sejarah epik Malaysia 2004 arahan Saw Teong Hin, yang menulis skrip bersama Mamat Khalid. Filem ini berdasarkan daripada cerita lagenda Melayu, Puteri Gunung Ledang, yang dikatakan tinggal di atas Gunung Ledang, dan usaha seorang sultan Melaka untuk meminangnya. Dibintangi oleh M. Nasir dan Tiara Jacquelina sebagai watak utama, ia mengisahkan tentang Empayar Majapahit yang dilanda kegawatan setelah diserang oleh Putera Demak dari Jawa. Mengelak dari kejadian menjadi bertambah buruk, raja Majapahit, Gusti Adipati Handaya Ningrat menawarkan Demak berkahwin dengan adiknya, Gusti Putri Retno Dumilah. Ia dibintangi bersama oleh Adlin Aman Ramlie, Rahim Razali, Sofia Jane, Khir Rahman, Sabri Yunus dan Melissa Saila serta pelakon-pelakon dari Indonesia, Alex Komang, Slamet Rahardjo dan Christine Hakim.
Idea untuk filem ini hadir apabila Mamat Khalid mengutarakan hasratnya untuk adaptasikan kisah percintaan Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah untuk sebuah siri televisyen, yang pada mulanya ditolak oleh Tiara Jacquelina sebelum dibangunkan sebagai filem cereka. Enfiniti Productions, syarikat penerbitan yang diasaskan oleh Tiara, menerbitkan filem ini dengan kos pembikinan sebanyak RM16 juta, menjadikannya filem Malaysia berbelanjawan besar yang pertama pernah diterbitkan. Penggambaran dijalankan selama 94 hari bermula Januari sehingga Oktober 2003 di 6 negeri di Malaysia.
Puteri Gunung Ledang ditayangkan di pawagam pada 31 Ogos 2004 bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-47 dan menerima pelbagai ulasan positif daripada pengkritik filem dan telah memperoleh kutipan pecah panggung kasar sebanyak RM2.90 juta. Ia telah memenangi 5 daripada 10 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-18 dan menjadi filem Malaysia pertama yang dihantar oleh kerajaan Malaysia untuk menyertai Anugerah Akademi ke-77 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik. Ekoran daripada kejayaan filem ini, sebuah pementasan teater muzikal yang sama jalan ceritanya, telah diterbitkan dan dipentaskan pada 2006, diikuti oleh konsert muzikalnya yang diadakan pada 2015.