Pitbul

Pitbul
Pilihan baka anjing yang kadang-kadang dikelaskan sebagai jenis pitbul. Mengikut arah jam dari kiri atas: pitbulterier Amerika, terier Staffordshire Amerika, buldog Amerika, bulterier Staffordshire.
Negara asalAmerika Syarikat, Great Britain
Anjing (Canis lupus familiaris)

Pitbul atau pit bull ialah istilah umum untuk beberapa jenis anjing yang dipercayai telah diturunkan daripada bull and terrier. Di Amerika Syarikat, istilah ini biasanya dianggap menyertakan pitbulterier Amerika, terier Staffordshire Amerika, bully Amerika, bulterier Staffordshire, dan kadang-kadang buldog Amerika, bersama-sama dengan mana-mana anjing baka silang yang mengongsi ciri fizikal tertentu dengan baka-baka ini. Di negara lain, termasuk United Kingdom, istilah ini digunakan secara khusus sebagai singkatan bagi baka pitbulterier Amerika, sementara bulterier Staffordshire tidak dianggap sebagai pitbul. Kebanyakan anjing jenis pitbul diturunkan daripada bull and terrier British, iaitu sejenis anjing laga abad ke-19 yang dikembangkan daripada silangan antara buldog lama Inggeris dengan terier lama Inggeris.

Anjing jenis pitbul mempunyai reputasi berkontroversi sebagai haiwan peliharaan di peringkat antarabangsa, kerana sejarahnya dalam laga anjing, bilangan serangan berprofil tinggi yang didokumenkan dalam media sepanjang berdekad-dekad, dan kecenderungannya untuk melekap semasa menggigit. Penyokong jenis ini dan penyokong pengawalaturan telah terlibat dalam perdebatan sejadi lawan asuhan yang sangat berpertikaian sama ada kecenderungan agresif pada pitbul boleh sewajarnya diatributkan kepada penjagaan dan kekompetenan lemah pemilik untuk mengendalikan anjing itu atau kualiti semula jadi akibat pembiakbakaannya untuk tujuan pertempuran. Walaupun sesetengah kajian telah berhujah bahawa anjing jenis pitbul tidak berbahaya secara tidak seimbang, lalu menawarkan tafsiran bersaing tentang statistik gigitan anjing, pertubuhan bebas Amerika Utara telah menerbitkan statistik daripada rekod hospital yang menunjukkan bahawa pitbul bertanggungjawab atas lebih daripada separuh daripada jumlah insiden gigitan anjing dalam kalangan semua baka, walaupun merangkumi hanya 6% daripada jumlah anjing peliharaan. Sesetengah syarikat insurans tidak akan meliputi pitbul (bersama-sama dengan anjing Rottweil dan hibrid serigala) kerana anjing tertentu ini menyebabkan kadar tidak seimbang bagi insiden gigitan. Keparahan gigitan anjing berbeza-beza mengikut baka anjing dan kajian telah mendapati bahawa anjing jenis pitbul mempunyai kedua-dua kadar lebih tinggi bagi gigitan terlapor dan kadar lebih tinggi bagi kecederaan parah, berbanding dengan anjing bukan jenis pitbul lain.

Anjing jenis pitbul digunakan secara meluas di Amerika Syarikat untuk laga anjing, iaitu satu amalan yang telah berterusan walaupun menjadi terlarang. Beberapa buah negara dan bidang kuasa membatasi pemilikan anjing jenis pitbul melalui perundangan spesifik baka. Lobi pro-pitbul wujud dan mempromosikan pitbul sebagai haiwan peliharaan keluarga, menyokong dan membiayai penyelidikan pitbul, dan menentang undang-undang yang mengawal atur pemilikannya.