Persephone
| Persephone | |
|---|---|
| |
| Tempat tinggal | Alam bawah tanah |
| Simbol | Delima, biji-bijian, obor, dan rusa |
| Maklumat peribadi | |
| Ibu bapa | Zeus dan Demeter Zeus dan Rhea (Orfik) |
| Adik-beradik | Beberapa adik-beradik sebelah bapa dan adik-beradik sebelah ibu |
| Isteri | Hades |
| Zuriat |
|
| Kesetaraan | |
| Kesetaraan Rom | Proserpina |
| Sebahagian daripada siri tentang |
| Agama Yunani Kuno |
|---|
|
Dalam agama dan mitologi Yunani kuno, Persephone (AFA: [pərsefəni]; Yunani: Περσεφόνη, rumi: Persephónē, sebutan klasik: [per.se.pʰó.nɛː]; Jawi: ڤرسيفني), juga dipanggil Kore (Yunani: Κόρη, rumi: Kórē, lit. 'gadis') atau Cora, ialah anak perempuan Zeus dan Demeter. Dia menjadi ratu alam bawah tanah setelah diculik oleh bapa saudaranya Hades, raja alam bawah tanah, yang kemudiannya mengahwininya.
Mitos tentang penculikannya, persinggahannya di alam bawah tanah, dan pengembaliannya ke permukaan secara berulang kali ialah representasi peranannya sebagai lambang musim bunga dan personifikasi tumbuh-tumbuhan, terutama tanaman bijian, yang hilang ke dalam tanah apabila ditanam, bercambah dari tanah pada musim bunga, dan dituai apabila sudah matang. Dalam seni Yunani Klasik, Persephone sentiasa digambarkan berpakaian, sering membawa secekak bijian. Dia boleh digambarkan sebagai dewa mistik dengan tongkat dan kotak kecil tetapi dia kebanyakannya digambarkan dibawa lari oleh Hades.
Persephone, sebagai dewi tumbuh-tumbuhan, dan ibunya Demeter ialah watak-watak utama dalam Misteri Eleusis, yang menjanjikan kehidupan selepas mati yang bahagia kepada ahli kultusnya. Asal usul kultusnya tidak pasti tetapi ia berdasarkan kultus agraria kuno komuniti-komuniti pertanian. Di Athens, misteri yang disambut pada bulan Anthesterion didedikasikan untuknya. Bandar Locri Epizephyrii, di Calabria moden (selatan Itali), terkenal dengan kultus Persephone, di mana dia dewi perkahwinan dan kelahiran di kawasan ini.
Namanya mempunyai banyak varian dalam sejarah. Ini termasuk Persephassa (Περσεφάσσα) dan Persephatta (Περσεφάττα). Dalam bahasa Latin, namanya ialah Proserpina. Dia dipadankan oleh orang Rom dengan dewi Italik Libera, yang disamakan dengan Proserpina. Mitos-mitos yang serupa tentang perjalanan turun Persephone dan kepulangannya ke bumi juga muncul dalam kultus dewa-dewa lelaki, termasuk Attis, Adonis, dan Osiris, dan di Crete Minoa.