Alam ghaib Yunani
Dalam mitologi Yunani, alam ghaib Yunani, atau Hades, salah satu daripada tiga alam yang berbeza di mana seseorang pergi selepas mati. Idea paling awal tentang hidup selepas mati dalam mitos Yunani adalah apabila mati, intipati seseorang (jiwa) dipisahkan daripada mayat dan dibawa ke alam ghaib. Dalam mitologi awal (cth, Iliad dan Odysseia oleh Homeros) semua orang mati dihimpunkan dan wujud sebagai bayangan; walau bagaimanapun, dalam mitologi kemudiannya (cth, falsafah Platonisme) mula wujud kepercayaan bahawa orang akan dihakimi selepas mati, orang baik dan jahat dipisahkan dan dilayan dengan berbeza.
Alam ghaib yang sering dipanggil Hades—sempena dewa penjaganya—dipercayai terletak di pinggir bumi, sama ada berhampiran dengan lautan atau di bawah tanah. Ia gelap dan tiada cahaya matahari, berbeza dengan dunia tempat kita tinggal. Kecerahan Gunung Olympus—tempat para dewa bersemayam—dan muka bumi—tempat dicahayai matahari—memberikan kontras langsung dengan kegelapan alam ghaib. Tempat ini tidak dapat dilihat, yang difahami berkaitan dengan kegelapan kekalnya tetapi juga kerana etimologi "Hades" mungkin bermakna "tempat yang tidak dapat dilihat". Ia hanya untuk orang mati, bukan untuk orang hidup. Terdapat hanya beberapa orang yang dikecualikan dan dikatakan pernah telah memasuki alam ghaib ini menurut mitos, seperti Herakles, Theseus, Orpheus, mungkin juga Odysseus, dan kemudiannya Aeneas diceritakan oleh orang Rom.