Lada Sichuan atau lada bunga (pinjam terjemah Bahasa Cina: 花椒; pinyin: huājiāo; Jawi: لادا سيچوان) ialah suatu rempah serumpun andaliman yang biasa digunakan dalam masakan khusus wilayah Sichuan, China. Ia mempunyai rasa dan aroma yang unik di mana ia bukanlah pedas seperti cili dan tidaklah serbak seperti lada hitam. Sebaliknya ia ada sedikit rasa seperti limau dan menghasilkan rasa lidas di mulut hasil tindak balas hidroksi-α-sansyool dalamnya. Ia digunakan dalam masakan Sichuan seperti mapo tauhu dan periuk panas Congqing dan biasanya dicampurkan dengan cili untuk hasilkan sejenis rasa yang dinamakan dalam bahasa Mandarin sebagai málà (麻辣; "pedas kebas").
Ia diperoleh daripada biji beberapa spesies pokok renek genus Zanthoxylum dalam keluarga Rutaceae (yang juga merangkumi keluarga limau oren dan inggu) seperti Z. simulans dan Z. bungeanum. Sekam sekitar biji boleh digunakan terus dalam masakan dan setelah dikisar dapat digunakan untuk membuat serbuk pancarempah, tetapi daun pelbagai spesiesnya juga digunakan di beberapa kawasan di China. Spesies berkaitan digunakan dalam masakan Tibet, Bhutan, Nepal, Thailand, bangsa Konkani dan Kumaoni di India Timur Laut serta bangsa Batak Toba di Indonesia. Ia juga digunakan dalam perubatan tradisional Cina.