Bersirih
Bersirih atau menginang adalah pemakanan sirih bersama bahan sampingan lain seperti pinang, gambir, tembakau, kapur dan cengkih setepak sebagai tujuan riadah dalam kalangan tidak sahaja masyarakat Nusantara (termasuk Melayu, Aceh, India dan sebagainya) Asia Tenggara tetapi juga meluas di Asia Selatan serata Bangladesh, Myanmar dan Thailand. Barangan ini disediakan dalam kelengkapan tepak untuk tujuan ini. Adat ini memainkan peranan penting dalam pelbagai jenis tujuan adat istiadat Melayu terutamanya dalam perkahwinan dari saat merisik sehingga bersanding.
Amalan ini diketahui dapat ditelusuri seawal lebih 3,000 bahkan juga 4000 tahun lampau berdasarkan kajian dilakukan terhadap barang peninggalan di Thailand, Indonesia dan Filipina. Bukti tertua mengenai amalan ini ditemui di sebuah tapak perkuburan di Gua Duyong timur Palawan yang bertarikh sekitar 4,630±250 tahun dahulu. Penyebarannya berkait rapat dengan perluasan Zaman Neolitik oleh masyarakat Austronesia. Marco Polo dipercayai menyaksikan amalan pengunyahan daun ini oleh masyarakat setempat dalam catatan penjelajahannya; begitu juga dengan penulisan Tome Pires semasa berlabuh di Melaka antara 1512 dan 1515 dalam Suma Oriental.
Penemuan dalam bidang perubatan kini mendapati amalan menginang boleh menyebabkan ketagihan malah membahayakan kesihatan lagi-lagi bila ditambah tembakau yang ditambah, terutamanya sebagai punca barah di mulut kerongkong serta penyakit kardiovaskular, strok, serta kesan buruk terhadap pembiakan termasuk Lahir mati, kelahiran pramatang, dan kurang berat badan dari biasa.