Asya'irah

Asya'irah atau Asy'ariyah (Arab: أشعرية al-ʾAšʿarīyah atau ٱلْأَشَاعِرَة al-ʾAšāʿirah) merupakan satu aliran utama dalam pengajian aqidah Ahli Sunah Waljamaah. Aliran ini digagaskan oleh Imam Abu al-Hasan Ali al-Asyari, seorang faqih mazhab Syafii dari abad ke-3 Hijrah/ke-9–ke-10 Masihi. Ia merupakan aliran rasionalis aqli-naqli yang bergandingan dengan kelompok Maturidiyah dan Athariyah.

Alirah Asy'ariyah mengasaskan jalan tengah antara aqidah aliran Athariyah dan Muktazilah dalam teologi Islam, yang bergantung pada kitab suci Islam dan juga rasionalisme teologi berkenaan dengan kuasa dan sifat-sifat Allah. Asy'ariyah akhirnya menjadi aliran dominan dalam Ahli Sunah Waljamaah dan dianggap aliran teologi paling penting dalam sejarah Islam.

Antara tokoh Asy'ariyah yang terkenal ialah Imam Abu Hamid al-Ghazali, Sultan al-Ulama' Syeikh 'Izzuddin Abdul Salam, Imam Jalaluddin al-Suyuti, Ibnu al-Jauzi, al-Nawawi, Fakhr al-Din al-Razi, Ibnu Asakir, al-Subki, al-Taftazani, al-Baqillani dan al-Baihaqi. Ulama dan ilmuwan yang mengikuti Asy'ariyah termasuk al-Biruni, Ibnu al-Haitham, Ibnu al-Nafis, Ibnu Battutah dan Ibnu Khaldun.