Surah Al-Qasas

Surah Al-Qasas (سورة القصص) - Cerita-cerita - surah yang diturunkan di Makkah selepas Surah An-Naml. Surah ini mengandungi 88 ayat dan diletakkan dalam susunan surah sebagai surah yang ke-28. Surah ini diberi nama surah Al-Qasas kerana mengambil perkataan dari ayat ke-25 yang bermaksud:

"Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: 'Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.'"

Surah ini diturunkan ketika kaum muslimin masih dalam keadaan lemah iaitu ketika mereka masih dibelenggu kekejaman kaum Musyrikin Makkah sebagai kuasa besar, mewah dan kuat. Maka, Allah menurunkan surah ini sebagai perbandingan dengan riwayat hidup Nabi Musa a.s. dengan kekejaman Firaun dan akibat dari kemewahan Qarun serta memberikan janji akan kemenangan Nabi Muhammad SAW kelak.