Iban

Iban
Dayak Laut
Tambai Panggau Libau
Pakaian tradisional orang Iban dari Kapuas Hulu, Kalimantan Barat, Indonesia, 2019.
Jumlah penduduk
kira-kira 700,000+
Kawasan ramai penduduk
Borneo:
 Malaysia (Sarawak)702,579
 Indonesia (Kalimantan Barat)19,978
 Brunei17,000
Bahasa
Iban (bahasa ibunda)
Juga:
Agama
Majoriti:
Kristian (Terutamanya Anglikan & Katolik)
Minoriti:

Iban adalah salah satu kaum pribumi Pulau Borneo dan merupakan kumpulan etnik terbesar di Sarawak, Malaysia. Asal usul orang Iban dipercayai berakar dari kawasan Lembah Sungai Kapuas di Kalimantan Barat, khususnya di sekitar anak sungai Ketungau. Salah satu lokasi yang dianggap penting dalam sejarah dan identiti masyarakat Iban ialah Tembawai Tampun Juah, yang terletak di Segumon, Sanggau, Kalimantan Barat. Tapak ini dikenali sebagai tempat bersejarah yang melambangkan asal usul nenek moyang mereka dan mempunyai nilai budaya serta kerohanian yang mendalam dalam kalangan komuniti Iban.

Penghijrahan masyarakat Iban ke Sarawak bermula sekitar tahun 1550, didorong oleh faktor seperti konflik antara suku, peluasan wilayah dan pencarian tanah pertanian yang subur. Proses penghijrahan ini membawa kepada peningkatan populasi mereka di Sarawak, dan pada hari ini, mereka membentuk kira-kira 22.8% daripada jumlah penduduk negeri tersebut, menjadikan mereka kumpulan etnik terbesar di Sarawak. Selain di Sarawak, masyarakat Iban juga terdapat di Kalimantan Barat, Indonesia, serta di Brunei. Di Sabah, mereka dikenali sebagai Iban Merotai, merujuk kepada kawasan penempatan mereka di negeri itu.

Istilah Gelaran Dayak diperkenalkan oleh pihak penjajah orang Eropah pada abad ke-19 sebagai satu label umum untuk merujuk kepada penduduk bukan Islam di pedalaman Borneo yang mempunyai persamaan dari segi budaya, kepercayaan tradisional dan ciri fizikal. Dalam konteks kolonial British, orang Iban pernah dikenali sebagai Dayak Laut kerana penglibatan mereka dalam kegiatan merentas laut, terutamanya di Laut China Selatan antara abad ke-17 hingga ke-19. Ketika itu, tradisi kayau (memenggal kepala musuh) di darat dan laut menjadikan mereka digeruni oleh pelayar dan pedagang asing.

Pada masa kini, kebanyakan orang Iban menganut agama Kristian, terutamanya Katolik dan Protestan, manakala sebilangan kecil lagi beragama Islam atau masih mengamalkan kepercayaan tradisional seperti adat lama. Walaupun telah mengalami perubahan dari segi kepercayaan dan cara hidup, masyarakat Iban masih mengekalkan amalan budaya, adat resam dan bahasa mereka melalui pelbagai bentuk seni, upacara tradisional dan kehidupan komuniti di rumah panjang.