Maenad
Dalam mitologi Yunani, maenad atau mainad (Yunani Purba: μαινάδες [maiˈnades]) adalah pengikut-pengikut wanita Dionysus dan anggota terpenting dalam rombongannya, thiasus. Nama mereka, yang berasal daripada μαίνομαι (maínomai, "mengamuk, menjadi gila; marah"), secara harfiah bermaksud 'yang mengamuk'. Maenad juga dikenali sebagai golongan Bassaris, Bacchae, atau Bacchante dalam mitologi Rom kerana dewa Rom yang setara, Bacchus, suka memakai kulit bassaris atau rubah.
Selalunya maenad digambarkan mendapat ilham daripada Dionysus menjadi gila ekstatik melalui gabungan tarian dan mabuk. Semasa upacara ini, maenad akan berpakaian kulit anak rusa dan membawa thyrsus, sebatang kayu panjang yang dibalut dengan daun ivy atau anggur dan berhujung dengan kon pain. Mereka akan menganyam karangan ivy di kepala mereka atau memakai helmet lembu untuk memuja dewa mereka, dan sering memegang atau memakai ular.
Wanita-wanita ini dimitoskan sebagai "wanita gila" yang merupakan pengasuh Dionysus di Nysa. Lycurgus iaitu raja Edoni dikatakan pernah "mengejar Para Pengasuh Dionysus yang mengamuk melalui bukti-bukit suci Nysa, dan peralatan suci jatuh ke tanah daripada tangan semua orang, ketika Lycurgus yang kejam memukul mereka dengan angkusa lembunya". Mereka pergi ke gunung pada malam hari dan mengamalkan ritual-ritual yang pelik.
Menurut Kehidupan Alexander oleh Plutarch, maenad dipanggil Mimallones dan Klodones di Macedon, gelaran yang berasal dari seni feminin memintal bulu. Namun, parthenoi ("dara") yang bersifat perang dari bukit-bukau ini, yang dikaitkan dengan Dionysios pseudanor ("Dionysus lelaki palsu"), berjaya mengalahkan musuh yang menyerang. Di selatan Yunani, mereka dipanggil Bacchae, Bassarides, Thyiades, Potniades, dan gelaran lain.
Istilah maenad telah dikaitkan dengan pelbagai jenis wanita, supernatural, mitologi, dan sejarah, yang dikaitkan dengan dewa Dionysus dan penyembahannya.
Dalam drama Euripides Bacchae, maenad dari Thebes membunuh Raja Pentheus setelah baginda melarang penyembahan Dionysus. Dionysus, sepupu Pentheus, sendiri menarik Pentheus ke hutan, di mana para maenad merobek-robeknya. Mayatnya dikerat oleh ibunya sendiri, Agave, yang meragut kepalanya, percaya ia adalah kepala singa. Sekumpulan maenad juga membunuh Orpheus, apabila dia enggan melayan mereka sementara berkabung untuk isterinya yang telah mati.
Dalam seni seramik, Maenad dan Dionysus yang bermain-main sering menjadi tema yang digambarkan pada krater, digunakan untuk mencampur air dan wain. Adegan ini menunjukkan maenad dalam keadaan gila berlari di hutan, sering merobek apa sahaja haiwan yang mereka temui.
Ahli filologi Jerman Walter Friedrich Otto menulis:
Bacchae oleh Euripides memberikan kita gambaran paling hidup tentang keadaan menakjubkan di mana, seperti yang dikatakan Plato dalam Ion, para penyembah yang mabuk dewa mengambil susu dan madu dari sungai. Mereka memukul batu dengan thyrsus, dan air memancut keluar. Mereka menurunkan thyrsus ke tanah, dan mata air wain muncul. Jika mereka mahukan susu, mereka menggaru tanah dengan jari dan mengeluarkan cecair susu. Madu menitis daripada thyrsus yang diperbuat daripada kayu ivy, mereka melilitkan ular di badan mereka dan menyusukan anak rusa dan anak serigala seperti seorang bayi di dada. Api tidak membakar mereka. Tiada senjata besi dapat mencederakan mereka, dan ular-ular itu tanpa bahaya menjilat peluh dari pipi mereka yang panas. Lembu jantan yang garang menyungkur ke tanah, menjadi mangsa kepada tangan wanita-wanita yang tidak terhitung banyaknya, dan pokok-pokok kukuh dibantun dari akar oleh usaha gabungan mereka.