Khafre Bertakhta
| Khafre Bertakhta | |
|---|---|
Patung dipamerkan di Muzium Prasejarah Kebangsaan Perancis dalam pameran 2019 | |
| Bahan baku | Gneis anortosit |
| Tinggi | 1.68 meter |
| Dibuat | s. 2550 SM |
| Ditemukan | 1860 Giza, Kegabenoran Giza, Mesir |
| Ditemukan oleh | Auguste Mariette |
| Lokasi sekarang | Muzium Mesir, Kaherah, Kegabenoran Kaherah, Mesir |
| Registrasi | CG 14 |
Khafre Bertakhta ialah sebuah patung ka firaun Khafre, yang memerintah pada Dinasti Keempat Mesir purba. Patung ini kini berada di Muzium Mesir di Kaherah. Dibuat daripada batu gneis anortosit, iaitu batu berharga, amat keras, dan berwarna gelap. Bahan ini dibawa sejauh 1,000 km (620 bt) menuruni Sungai Nil dari “kuari-kuari Khafre” di barat Gebel el-Asr. Patung ini diukir untuk kuil lembah Khafre yang terletak berhampiran Sfinks Agung, sebahagian daripada nekropolis yang digunakan dalam upacara pengebumian.
Arca ini dihasilkan berbentuk tiga dimensi sepenuhnya (bukan ukiran timbul) dan menggambarkan Khafre duduk, salah satu bentuk asas yang biasa digunakan pada zaman Kerajaan Lama untuk memaparkan tubuh manusia. Proses pemumiaan memainkan peranan besar dalam budaya Mesir, iaitu suatu proses selama 70 hari untuk memastikan keabadian raja. Bermula pada alaf ke-3 SM, jika mumia raja rosak, maka patung ka dihasilkan untuk “menjamin keabadian dan kekekalan identiti si mati dengan menyediakan tempat tinggal pengganti bagi ka.”
Khafre digambarkan duduk kaku di atas takhta dirajanya, memandang jauh ke hadapan. Firaun memakai penutup kepala linen nemes yang menutupi sebahagian besar dahinya dan menjuntai di atas bahunya yang lebar. Baginda juga memakai janggut palsu diraja yang dilekatkan pada dagunya yang terukir rapi. Khafre memakai kain kilt di pinggangnya, yang mendedahkan tubuh atasnya yang diidealkan serta bentuk ototnya. Gaya potret Mesir yang diidealkan ini bukan bertujuan untuk merakamkan satu demi satu ciri diri, tetapi untuk menegaskan sifat ketuhanan dalam pemerintahan firaun. Dua badan singa bergaya membentuk takhta Khafre, menjadikannya kukuh. Pokok teratai (lambang Mesir Hulu) dan tumbuhan papirus (lambang Mesir Hilir) tumbuh di antara kaki takhta, merujuk kepada penyatuan Mesir Hulu dan Mesir Hilir yang menamatkan zaman pradinasti Mesir. Dewa Horus, digambarkan sebagai seekor falkon, melindungi belakang kepala Khafre dengan sayapnya, satu lagi rujukan kepada Mesir yang bersatu. Selain pandangan menarik falkon (yang tidak kelihatan dari hadapan) di belakang kepala Khafre, kaki Khafre terletak di atas sebuah pelantar rata yang diukir dengan sembilan busur panah, melambangkan kuasa raja dan kerajaannya terhadap suku-suku musuh asing dan tempatan, iaitu sembilan busur.
Raja yang digambarkan secara simetri ini tidak menunjukkan sebarang pergerakan atau perubahan, menahan segala gerak dan masa bagi mencipta keadaan abadi; tubuhnya yang tegap dan kedudukannya yang kekal menggambarkan Khafre sebagai tidak mengenal masa—Khafre abadi, dan kuasanya akan wujud walaupun di alam selepas mati. Patung ini berasaskan bentuk padat dan padu dengan sedikit bahagian menonjol; tubuh Khafre yang seperti blok disambungkan dengan takhta supaya kekal untuk selama-lamanya, menjadikan satu struktur tunggal. Lengannya diletakkan di atas paha, menghadap terus ke penatap dalam gaya mendepan yang kaku. Patung yang simetri ini, melambangkan ketertiban dan kawalan seorang firaun, di kedua-dua belah paksi menegak, hanya berbeza pada tangan kanannya yang menggenggam. Tampang sisi yang rapat dan gaya blok menggambarkan Khafre sebagai kewujudan yang kekal dan sebahagian daripada batu itu sendiri demi menjaga ka baginda. Khafre akan sentiasa wujud, di bumi mahupun di alam akhirat. Patung firaun ini boleh digambarkan sebagai benar-benar menghadapan, benar-benar tidak bergerak, dan amat tenang: ciri-ciri patung blok Mesir.
Patung diorit ini mempunyai ketinggian akhir lima kaki enam inci.