Hutan dipterokarpa bukit

Hutan dipterokarpa bukit ialah kawasan hutan yang berketinggian antara 300 hingga 750 meter dari aras laut dan terdapat di kawasan banjaran-banjaran pedalaman. Kawasan hutan dipterokarpa bukit mempunyai pelbagai spesies tumbuhan terutamanya daripada keluarga Dipterocarpaceae seperti keruing pipit, meranti bukit dan cengal manakala bagi bukan keluarga dipterokarpa ialah kelumpang, mendong dan keranji. Spesies tumbuhan yang tumbuh di hutan dipterokarpa tanah pamah juga boleh dijumpai di kawasan hutan ini tetapi dalam jumlah sedikit. Rafflesia juga mampu hidup di kawasan hutan dipterokarpa bukit sebagai habitatnya. Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di kawasan ini dipengaruhi oleh matahari, angin dan elemen lain.

Kelainan tumbuh-tumbuhan ini terjadi di sekitar kawasan permatang, lereng bukit dan lembah kerana hutan dipterokarpa bukit ialah hutan pengaruh iklim akibat pembentuk zon dengan melalui hutan dipterokarpa pamah. Pokok-pokok besar di kawasan hutan ini adalah lebih kecil dan rendah dengan tumbuhan tutup bumi yang sangat kurang. Di kawasan permatang bukit, terdapat banyak pokok bertam manakala di lereng-lereng bukit yang lebih curam terdapat pokok bayas serta tumbuhan permukaan lantai hutan jenis lain. Contoh kawasan hutan dipterokarpa bukit ialah Taman Negara, Taman Negeri Endau-Rompin, Hutan Simpan Tersang, Hutan Simpan Amanjaya dan Hutan Simpan Chabang Tongkat.