Hanfu


Hanfu
Seorang wanita memakai Aoqun, gaya popular semasa dinasti Ming dan Qing
Sebahagian lukisan The Night Revels of Han Xizai, abad ke-10 M.
Pemuzik istana memakai Qixiong Ruqun; ukiran batu hiasan, Lima Dinasti.
Maharaja Wanli dalam pakaian Mianfu, lewat abad ke-16

Hanfu (Cina ringkas: 汉服Cina tradisional: 漢服pinyin: Hànfú, lit. "Pakaian Han") juga dikenali sebagai Hanzhuang (Cina ringkas: 汉装Cina tradisional: 漢裝pinyin: Hànzhuāng) ialah pakaian tradisional yang dikenakan oleh orang Han China sejak milenium ke-2 SM. Terdapat beberapa gaya utama hanfu, seperti ruqun (baju atas dengan kain luar panjang), aoqun (baju atas dengan kain dalam panjang), beizi, shenyi, dan shanku (baju atas dengan seluar ku).

Secara tradisional, hanfu terdiri daripada jubah paofu, atau jaket ru sebagai pakaian bahagian atas dengan kain qun sebagai pakaian bawah. Selain pakaian, hanfu juga merangkumi pelbagai aksesori seperti penutup kepala, kasut tradisional, tali pinggang, perhiasan, yupei dan kipas tangan.

Kini, hanfu semakin dikenali sebagai pakaian tradisional etnik Han dan mengalami kebangkitan semula sebagai fesyen, khususnya dalam kalangan belia Han di China dan diaspora Cina di luar negara.

Selepas Dinasti Han, hanfu berkembang menjadi pelbagai gaya menggunakan fabrik dan teknik tekstil yang semakin kompleks, khususnya dengan kemajuan dalam serikultur. Hanfu turut mempengaruhi pakaian tradisional budaya jiran termasuk:

  • Hanbok (Korea),
  • Kimono / wafuku (Jepun),
  • Ryusou (Kepulauan Ryukyu),
  • dan Áo giao lĩnh (Vietnam).

Elemen reka bentuk hanfu juga mempengaruhi fesyen Barat, terutamanya melalui gaya Chinoiserie yang mendapat tempat di Eropah dan Amerika sejak abad ke-17.