Ella (penyanyi)


Ella
Ella ditemuramah dalam MeleTOP pada 2016.
Kelahiran
Nor Zila binti Aminuddin

(1966-07-31) 31 Julai 1966
WarganegaraMalaysia
PendidikanSijil Pelajaran Malaysia (SPM)
PekerjaanPenyanyi, pelakon, pemuzik, model, usahawan
Tahun aktif1983–kini
PangkatRatu Rock Malaysia
PasanganAzhar Husaini Ghazali (k. 2012)
Anak-anak9 (termasuk Shanome Az Zahra)
Ibu bapa
  • Aminuddin Manap (bapa)
  • Yang Asmah Long (ibu)
SaudaraKaka Azraff (anak saudara)
Keluarga
  • Mohd. Nor Izam Aminuddin (abang)
  • Nor Azraff Aminuddin (abang)
  • Saidatulnisa Aminuddin (kakak)
  • Rozita Aminuddin (kakak)
  • Shahrizan Aminuddin (kakak)
  • Azahari Aminuddin (adik)
Kerjaya muzik
GenreHard rock, pop rock, pop metal, rock kapak, rock, soft rock
Alat muzikVokal
DiskografiLihat: Diskografi Ella
Syarikat rakamanWEA (kini Warner Music Malaysia)
EMI Music Malaysia
Kegiatan berkaitanElla & The Boys, Spider
Laman web rasmiwww.ella.com.my
Tandatangan

Hajah Nor Zila binti Haji Aminuddin atau lebih dikenali dengan nama Ella (lahir 31 Julai 1966) ialah seorang penyanyi, pemuzik dan pelakon wanita Malaysia. Wajahnya seiras penyanyi asal ABBA, Agnetha Fältskog dan Connie Francis. Dilahirkan di Gelugor, Pulau Pinang, kerjayanya bermula pada 1983 sewaktu berusia 17 tahun dengan menyertai kumpulan Moonracker sebelum meninggalkan kumpulan itu dan bergiat aktif sebagai penyanyi di kelab malam. Selepas berjaya mencipta nama sebagai penyanyi kelab malam, bakatnya dikesan oleh sebuah kumpulan rock, The Boys yang akhirnya dikenali sebagai Ella & The Boys yang mana mereka terkenal menerusi lagu "Dua Insan Bercinta".

Selepas meninggalkan Ella & The Boys pada 1987, Ella kemudian mencipta nama sebagai penyanyi solo dan menandatangani kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia dan merakamkan album solo pertamanya, Pengemis Cinta (1989) yang berjaya mencapai jualan melebihi 100,000 unit. Lagu-lagu seperti "Pengemis Cinta" dan "Permata Biru" dikeluarkan sebagai single utama. Sejak itu, Ella merakamkan beberapa lagi album yang menjadi kejayaan komersial seperti Puteri Kota (1990), 30110 (1992) dan Ella USA (1994). Beliau turut berjinak-jinak dalam bidang lakonan dengan membintangi filem Bayangan Maut (1991), Pemburu Bayang (1993) dan Hanya Kawan (1997). Beliau juga pernah menjadi duta untuk beberapa jenama terkenal seperti L.A. Gear, Levi's, dan Canon.

Antara pencapaian peribadi dalam kerjaya beliau ialah menjadi artis Malaysia pertama yang merakamkan album video, menjadi artis tempatan pertama yang merakamkan album penuh di Amerika Syarikat dan tercatat dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai "Artis Wanita Pertama Yang Mempunyai Penjualan Album Terbanyak". Beliau juga ialah satu-satunya artis Malaysia yang dipilih menyanyikan lagu tema Sukan Komanwel (SUKOM). Dikenali oleh media sebagai Ratu Rock Malaysia, beliau merupakan satu-satunya penyanyi wanita Malaysia yang berjaya menguasai muzik rock. Selain itu, Ella juga ialah antara artis yang menerima bayaran tertinggi dan termahal bagi suatu undangan nyanyian.