Ba gua

Ba gua
Nama Bahasa Cina
Bahasa Cina八卦
Maksud harfiahLapan trigram
Vietnamese name
Vietnamese alphabetBát quái
Chữ Hán八卦
Korean name
Hangul팔괘
Hanja八卦
Nama Jepun
Kanji八卦
Hiraganaはっけ

Bagua (Cina: 八卦; pinyin: bāguà; har. 'lapan trigram') ialah satu set lambang dari China yang digunakan untuk menggambarkan hakikat kewujudan sebagai gabungan tenaga berlawanan yang saling mengukuhkan. Bagua terdiri daripada trigram iaitu kumpulan tiga garisan, sama ada "terputus" atau "penuh", mewakili yin dan yang. Oleh sebab setiap garisan mempunyai dua keadaan, jumlahnya menjadi 23 = 8 trigram. Pengelasan dan penafsiran awal trigram di China telah mempengaruhi sejarah falsafah China dan kosmologi.

Trigram berkaitan dengan amalan ramalan seperti dihuraikan dalam I Ching dan diamalkan dalam agama rasmi dinasti Shang dan Zhou, juga dikaitkan dengan konsep taici serta lima unsur dalam metafizik tradisional China. Trigram turut mempunyai padanan dalam astronomi, ramalan, meditasi, astrologi, geografi, geomansi (feng syui), anatomi, seni hiasan, institusi keluarga, seni bela diri (khususnya taici dan baguazhang), perubatan tradisional Cina dan bidang lain.

Bagua boleh wujud secara tunggal atau bergandingan, dan lazim ditemui dalam dua susunan berbeza: Primordial (先天八卦), "Langit Awal", atau bagua "Fuxi" (伏羲八卦), dinamakan mengikut legenda bahawa Fuxi ialah tokoh awal yang mengenal pasti lapan trigram; dan Manifested (後天八卦), "Langit Kemudian", atau bagua Raja Wen, yang muncul dalam catatan sejarah China.

Dalam I Ching, dua trigram disusun bertindan untuk membentuk rajah enam garisan yang dipanggil heksagram. Terdapat 64 kemungkinan kombinasi. Kesemua 64 heksagram beserta huraian membentuk kandungan kitab itu. Simbolisme trigram digunakan untuk menafsir rajah heksagram dan teksnya. Contoh tafsiran dari Heksagram 19 berbunyi: "Bumi di atas tasik: Gambaran Pendekatan. Justeru, seorang insan unggul tidak kenal putus asa dalam usaha mengajar, dan tiada batas dalam kemurahan hati serta perlindungannya terhadap rakyat." Trigram juga digunakan untuk menyusun carta Yijing seperti di bawah.