Pulau Pisang
| Pulau Pisang, Johor ڤولاو ڤيسڠ، جوهر | |
|---|---|
| Geografi | |
| Status | Pulau |
| Negara | Malaysia |
| Negeri | Johor |
| Daerah | Pontian |
Pulau Pisang (bahasa Inggeris: Banana Island) adalah salah sebuah pulau kecil yang terdapat di perairan negeri Johor Darul Ta'zim, Malaysia. Pulau ini terletak 5 kilometer dari bandar Benut, Pontian dan 12 kilometer dari Pontian Kechil. Ia berada di selatan laluan perkapalan Selat Melaka yang sibuk serta berkedudukan strategik di barat daya negeri Johor.
Di pulau ini terdapat sebuah rumah api yang dikawal selia oleh Singapura berikutan daripada perjanjian di antara Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris pada 1900.
Namun berikutan daripada hasil kes pertindihan tuntutan wilayah antara Malaysia dan Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang telah memihak kepada Singapura, terdapat gesaan dari pelbagai pihak supaya kerajaan Malaysia segera mengambil alih pengurusan rumah api tersebut. Walaupun Singapura ketika ini mengakui pulau itu milik Malaysia, penduduk Malaysia bimbang jika Pulau Pisang juga bakal menerima nasib yang sama seperti Pulau Batu Puteh jika kerajaan Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk membuktikan penguasaan serta kedaulatannya terhadap pulau ini.