Paus (Katolik)

Uskup Rom
Episcopus Romae
اوسکوڤ روم

Pontifex maximus

Paus
Katolik
Jata Takhta Suci
Penyandang:
Leo XIV
sejak 8 Mei 2025
Gayabahasa Melayu:
Tuan Yang Terutama Sri Paus

Bahasa Inggeris:
His Holiness Pope
Bahasa Latin:
Sanctitas Sua
Bahasa Itali:
Sua Santità
Lokasi
Wilayah gerejaWilayah Gerejawi Rom
Kediaman
  • Istana Apostolik (kediaman rasmi paus)
Ibu pejabatIstana Apostolik, Kota Vatikan
Maklumat
Penyandang pertamaSanto Petrus
MazhabGereja Katolik
DitubuhkanAbad pertama
KeuskupanRom
KatedralBasilika Agung Santo Yohanes Lateran
PentadbirTakhta Suci
Laman sesawang
vatican.va/holyfather

Paus ialah gelaran yang diberikan kepada ketua pentadbir dan kerohanian urusan keagamaan Gereja Katolik. Pemegang gelaran ini juga merupakan ketua negara Kota Vatikan, sebuah negara kota terletak di tengah-tengah kota Rom ibu kota Itali; beliau juga memegang jawatan berpangkat uskup di kota tersebut (yakni Uskup Rom). Pentadbiran gerejawi yang diketuainya atau "kepausan" (papatus) dan kerusi rasmi yang didudukinya semasa dilantik adalah Takhta Suci; sebuah entiti berdaulat yang diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan pelbagai negara serta menyertai pelbagai pertubuhan antarabangsa. Sebelum ini dari abad ke-8 hingga tahun 1870, Paus turut berperanan sebagai ketua Negeri-Negeri Paus. Paus terkini ialah Paus Leo XIV sejak dipilih dalam konklaf pada tahun 2025.

Menurut kepercayaan Katolik, Paus merupakan pengganti Santo Petrus yang menurut ajaran mereka telah dilantik oleh Yesus untuk mengetuai Gereja. Petrus dikatakan menerima "Kunci Syurga" serta kuasa "mengikat dan melepaskan" dan digelar sebagai batu asas kepada Gereja yang diasaskan oleh Yesus. Tradisi Katolik menyatakan bahawa Gereja Rom diasaskan oleh Santo Petrus dan Santo Paulus pada abad pertama Masihi. Institusi kepausan adalah antara institusi tertua yang masih wujud dan memainkan peranan penting dalam sejarah dunia. Pada zaman awal, Paus giat menyebarkan ajaran Kristian serta menjadi pendamai dalam pertikaian fahaman. Pada Zaman Pertengahan, Paus memainkan peranan penting dalam urusan politik Eropah dan sering menjadi pengantara antara raja-raja Kristian.

Walaupun kuasa duniawi Paus telah merosot sejak beberapa abad lalu, beliau masih mempunyai pengaruh besar dalam urusan keagamaan. Paus pada masa ini terlibat dalam dialog antara agama, kerja-kerja kebajikan serta memperjuangkan hak asasi manusia. Sejak tahun 1870, kuasa rohani Paus lebih ditegaskan melalui ajaran tentang infallibilitas, iaitu bahawa pope tidak boleh tersilap dalam hal kepercayaan dan akhlak apabila beliau bertutur secara rasmi dari "Kerusi Santo Petrus" (ex cathedra). Paus dianggap antara tokoh paling berpengaruh di dunia, bukan sahaja kerana beliau mengetuai 1.3 bilion umat Katolik, malah kerana beliau memimpin jaringan pendidikan, kesihatan dan kebajikan Katolik yang merupakan yang terbesar di dunia dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan.