Mantera
Mantera (Sanskrit: मन्त्र mantra, Jawi: منترا), jampi (Jawi: جمڤي) atau serapah (Jawi: سراڤه) adalah bunyi, suku kata, perkataan, atau ayat yang diucapkan berentak dianggap mampu menciptakan perubahan secara rohani lagi-lagi untuk mendapatkan kuasa ghaib.
Pengucapan ini dijumpai dalam pengamalan dan kefahaman anutan Hinduisme, Buddhisme, Jainisme, and Sikhisme yang mempunyai fungsi, keutamaan dan jenis yang berbeza-beza. Dalam konteks Hinduisme asal terutamanya, ia merupakan pengucapan daripada petikan kitab suci Veda yang bertujuan memberikan kekuasaan atau kesaktian rohani kepada mana-mana pengamalnya. Namun, ia berubah ansur maknanya dalam masyarakat Melayu menjadi amalan digunakan bomoh, pawang atau dukun untuk keperluan adat dan kepercayaan mistis; khususnya bagi mempengaruhi atau mengawal sesuatu perkara untuk memenuhi keinginan penuturnya melalui sihir sama ada untuk mencegah terjadinya bencana, menundukkan dan melemahkan musuh ataupun memikat wanita.