Kompas

Kompas (Jawi: کومڤس) atau pedoman ialah alat bantuan ahli pelayaran untuk mendapatkan arah sebenar di muka Bumi semasa berlayar di lautan sekiranya langit malam tidak dapat dilihat kerana ditutupi awan semasa cuaca yang buruk. Alat ini mempunyai sebatang jarum besi bermagnet yang bergerak sehaluan medan di dalam Bumi menunjukkan arah utara magnet berdasarkan magnetosferanya. Jarum yang bebas akan dengan sendiri menunjukkan arah mata angin utara dan peta mestilah dikoordinasikan dengan kompas tersebut. Selain arah utara, kompas juga ditandakan untuk menunjukkan mata-mata angin selatan, timur dan barat.

Sejarawan mendapati kompas mula dicipta oleh orang Cina semasa dinasti Han dari sekitar tahun 206 sebelum Masihi; alat ini mula digunakan oleh ahli pelayaran Eropah pada 1300 Masihi. Selain kompas pelaut, kompas lain ialah kompas gegasing dan kompas falak untuk menentukan utara benar. Kompas kiblat pula diubah suai untuk menunjuk ke arah Mekah.