Bumi

Bumi
بومي
dan
Fotograf bumi "Guli Biru" yang terkenal, diambil dari Apollo 17 pada Disember 1972.
Designasi
Nama alternatif
Ciri-ciri orbit
Afelion152097597 km
Perihelion147098450 km
Paksi semimajor149598023 km
Kesipian0.0167086
Tempoh orbit365.256363004 h
(tahun Julius)1.00001742096 a
Kelajuan purata orbit29.7827 km/s
Min anomali358.617°
Kecondongan
  • 7.155° – satah khatulistiwa Matahari;
  • 1.57869° – satah tak berubah;
  • 0.00005° – J2000 ekliptik
Longitud nod menaik−11.26064° – J2000 ekliptik
Masa periastron2023-Jan-04
Argumen perihelion114.20783°
Satelit1, Bulan
Ciri-ciri fizikal
Min jejari6371.0 km
Jejari khatulistiwa6378.137 km
Jejari kutub6356.752 km
Perataan1/298.257222101 (ETRS89)
Lilitan
  • 40075.017 km merentasi satah khatulistiwa
  • 40007.86 km merentasi satah meridian
Luas permukaan
  • 510072000 km2

  • Land: 148940000 km2
  • Water: 361132000 km2
Isi padu1.08321×1012 km3
Jisim5.972168×1024 kg
Min ketumpatan5.513 g/cm3
Graviti permukaan khatulistiwa9.80665 m/s2
(tepat-tepat 1 g0)
Halaju lepas11.186 km/s
Tempoh putaran
1.0 h
(24h 00 m 00s)
Tempoh putaran ikut bintang
0.99726968 h
(23j 56 m 4.100s)
Halaju putaran khatulistiwa0.4651 km/s
Kecondongan paksi23.4392811°
Albedo
  • 0.434 secara geometri
  • 0.294 Bond
Suhu min purata maks
•   −89.2 °C 14.76 °C 56.7 °C
Magnitud mutlak (H)−3.99
Atmosfera
Tekanan atmosfera101.325 kPa (pada paras laut)
Komposisi
Source:

sunting

Bumi (Jawi: بومي, nama astronomi: Terra) merupakan planet ketiga terdekat dengan Matahari dan satu-satunya objek astronomi yang diketahui mempunyai kehidupan. Hal ini disebabkan oleh sifat Bumi sebagai sebuah planet lautan, yang juga bermaksud Bumi merupakan satu-satunya dalam Sistem Suria yang mengekalkan air permukaan dalam bentuk cecair. Hampir semua air di Bumi terkandung dalam lautan yang terbentang sehingga 70.8% daripada permukaan kerak bumi. Baki 29.2% daripada permukaan kerak bumi meliputi daratan, dengan kebanyakan permukaan itu berbentuk benua dalam lingkungan hemisfera daratan. Kebanyakan kawasan daratan Bumi sekurang-kurangnya bersifat agak lembap dan dilitupi dengan tumbuh-tumbuhan, manakala lembar ais besar pada gurun ais kutub di kawasan kutub Bumi pula mengekalkan lebih banyak air (dalam bentuk ais) berbanding jumlah air bawah tanah, tasik, sungai dan atmosfera Bumi. Kerak bumi terdiri daripada beberapa plat tektonik yang bergerak perlahan dan berinteraksi antara satu sama lain untuk membentuk banjaran gunung, gunung berapi dan gempa bumi. Bumi mempunyai teras luar bercecair yang menjana magnetosfera yang mampu memesongkan kebanyakan angin suria dan sinaran kosmik yang memusnahkan.

Bumi mempunyai atmosfera bersifat dinamik yang mengekalkan keadaan permukaan Bumi dan melindunginya daripada kebanyakan meteoroid dan keamatan sinaran UV. Atmosfera bumi ini mempunyai komposisi yang secara utamanya terdiri daripada nitrogen dan oksigen. Wap air banyak terdapat di atmosfera, membentuk awan yang meliputi sebahagian besar planet ini. Wap air juga bertindak sebagai gas rumah hijau, yang bersama-sama dengan gas rumah hijau lain di atmosfera terutamanya seperti karbon dioksida (CO2), menyebabkan dua fasa jirim utama air (cecair dan gas) dapat kekal wujud di Bumi melalui penangkapan tenaga daripada cahaya Matahari. Proses ini mengekalkan purata suhu permukaan semasa pada 14.76 °C (58.57 °F), yakni suhu optimum untuk mengekalkan keadaan air dalam bentuk cecair di bawah tekanan atmosfera biasa. Perbezaan dalam jumlah tenaga yang ditangkap antara beberapa kawasan geografi berlainan (seperti kawasan khatulistiwa yang menerima lebih banyak cahaya matahari daripada kawasan kutub) memacu arus atmosfera dan lautan, sehingga menghasilkan sistem iklim global dengan kepelbagaian kawasan iklim, serta keragaman fenomena cuaca seperti kerpasan sehingga membenarkan komponen gas seperti nitrogen dapat menjalani kitaran biogeokimia.

Melalui keseimbangan hidrostatik, Bumi mengekalkan bentuk elipsoid dengan lilitan kira-kira 40,000 kilometer (25,000 batu). Bumi juga merupakan planet yang paling padat dalam Sistem Suria. Daripada empat planet berbatu dalam Sistem Suria, Bumi mempunyai ukuran saiz dan jisim yang terbesar. Bumi mengorbit Matahari pada jarak kira-kira lapan minit cahaya, mengambil masa setahun (kira-kira 365.25 hari) untuk menamatkan satu kitaran revolusi. Bumi berputar mengelilingi paksinya sendiri dalam masa kurang daripada sehari (dalam kira-kira 23 jam dan 56 minit). Paksi putaran bumi adalah condong berbanding paksi serenjang Bumi dengan satah orbitnya apabila mengelilingi Matahari, dan kecondongan paksi itu mendayakan peralihan musim. Bumi diorbit oleh Bulan yang merupakan sebuah satelit semula jadi kekal, dengan jaraknya daripada Bumi pada 384,400 km (238,900 bt) iaitu 1.28 saat cahaya, dan saiz lebar kira-kira satu per empat berbanding Bumi. Graviti Bulan membantu menstabilkan paksi Bumi, menghasilkan pasang surut dan secara beransur-ansur memperlahankan putaran Bumi. Penguncian pasang surut telah menjadikan Bulan sentiasa menghadap Bumi dengan sisi yang sama.

Seperti kebanyakan jasad lain dalam Sistem Suria, Bumi terbentuk kira-kira 4.5 bilion tahun dahulu daripada gas dan habuk yang wujud sewaktu fasa awal Sistem Suria. Dalam tempoh bilion tahun pertama sejarah Bumi, lautan mula terbentuk, kemudian kehidupan mula berkembang di dalam lautan. Kehidupan tersebar di seluruh dunia dan telah mengubah atmosfera dan permukaan Bumi, membawa kepada Peristiwa Pengoksidaan Besar pada dua bilion tahun dahulu. Manusia muncul kira-kira 300,000 tahun dahulu di Afrika dan telah tersebar ke setiap benua di muka Bumi. Manusia bergantung pada biosfera Bumi dan sumber semula jadi untuk kelangsungan hidup, tetapi impak manusia terhadap alam sekitar planet ini semakin ketara. Kesan semasa manusia terhadap iklim dan biosfera Bumi adalah tidak mampan, mengancam kehidupan pelbagai makhluk serta manusia itu sendiri, sehingga menyebabkan kepupusan yang meluas.