Wakil tetap
| Diplomat |
|---|
|
Wakil tetap ialah seorang diplomat yang mengetuai misi diplomatik sesebuah negara ke pertubuhan antarabangsa.
Antara organisasi yang menerima wakil tetap daripada negara-negara anggotanya termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Perdagangan Dunia, NATO, Kesatuan Eropah, Kesatuan Afrika, Pertubuhan Kerjasama Islam, dan Pertubuhan Negara-Negara Amerika. Wakil tetap juga boleh dihantar ke subunit atau pejabat cawangan sesebuah organisasi. Contohnya, selain wakil tetap ke Ibu Pejabat PBB di Bandar Raya New York, negara-negara anggota PBB turut melantik wakil tetap ke pejabat-pejabat lain PBB seperti di Geneva, Nairobi, dan Vienna.
Wakil tetap sering digambarkan secara tidak rasmi sebagai duta besar. Namun begitu, walaupun wakil tetap biasanya memegang pangkat diplomatik sebagai duta, oleh sebab mereka diperakui kepada organisasi antarabangsa dan bukannya kepada ketua negara tertentu, gelaran rasmi mereka ialah "wakil tetap". Sebagai contoh, Duta Besar Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu secara teknikal digelar sebagai wakil tetap ke PBB, walaupun umum lebih mengenalinya sebagai "duta".
Wakil diplomatik Paus dikenali sebagai utusan paus atau wakil paus, yang setaraf dengan wakil tetap.
Sesetengah organisasi antarabangsa seperti UNESCO menggunakan istilah permanent delegate untuk merujuk kepada ketua misi diplomatik yang diperakui kepada mereka.