Tuhan dalam agama Yahudi
| Sebahagian turutan rencana mengenai |
| Orang Yahudi dan Agama Yahudi |
|---|
| Siapakah seorang Yahudi? · Etimologi · Budaya |
Dalam agama Yahudi, terdapat pelbagai pemahaman tentang Tuhan. Menurut asalnya, agama Yahudi percaya bahawa Yahweh, tuhan Abraham, Ishak, Yaakub dan bani Israel menyelamatkan mereka daripada perhambaan di Mesir, dan memberikan mereka Hukum-hakam Musa di Gunung Sinai, seperti dalam Taurat. Orang Yahudi asalnya percaya pada keesaan Tuhan ("Yahweh adalah satu"), yang berada di luar alam semesta dan pada masa yang sama terlibat secara aktif dalam alam semesta).
Tuhan dianggap unik dan sempurna, bebas daripada segala kesalahan, kekurangan dan kecacatan, malah maha berkuasa, maha hadir, maha mengetahui, tidak terpermana dalam semua sifatnya, satu-satunya pencipta segala yang wujud dan tidak mempunyai pasangan atau sekutu. Dalam agama Yahudi, Tuhan tidak pernah digambarkan. Taurat tegas melarang menyekutukan kuasa Tuhan, kerana dipercayai bahawa tiada sesiapa sepertinya, dia tidak berbelah bahagi dan tiada tandingan, serta tiada yang serupa dengannya. Maka, Tuhan langsung tidak menyamai apa-apa di dalam atau di dunia, juga melebihi apa yang boleh manusia fikirkan atau ungkapkan. Nama-nama Tuhan yang paling kerap digunakan dalam Bible Ibrani ialah Tetragramaton (Ibrani: יהוה, rumi: YHWH) dan Elohim. Nama lain Tuhan dalam agama Yahudi tradisional termasuk el-Elyon, el Syaddai, dan Syekhinah.
Menurut teologi rasionalistik yang diutarakan oleh ahli falsafah dan mufti Yahudi zaman pertengahan, Moses Maimonides, yang kemudiannya banyak mempengaruhi pandangan Yahudi rasmi dan tradisional, Tuhan adalah satu-satunya pencipta, yang esa, tidak dapat dibahagikan dan tiada bandingan. Maimonides bersetuju dengan idea Ibnu Sina bahawa Tuhan itu Maha Esa, wujud di mana-mana dan tidak berjasad, serta Tuhan diperlukan untuk wujudnya alam semesta. Selain itu, beliau menyanggah idea Aristotle bahawa Tuhan tidak mengubah apa-apa, juga kepercayaan-kepercayaan lain Aristotle seperti menafikan bahawa Tuhan mencipta segala-galanya sementara mengatakan dunia asalnya memang wujud. Kepercayaan tradisional Yahudi mengatakan Tuhan adalah umpama "orang" yang boleh membantu manusia tetapi juga berkuasa dan di luar pemahaman insan, manakala beberapa tafsiran moden menekankan Tuhan bukan "seseorang" tetapi lebih kepada satu idea atau zat yang kuat, tidak mengambil peduli dengan alam semesta.