Taman Botanikal Melaka

2°16′54″N 102°17′57″E / 2.281623°N 102.299050°E / 2.281623; 102.299050

Taman Botanikal Melaka
تامن بوتانيكل ملاک
Laluan masuk utama ke Taman Botanikal Melaka
JenisTaman botanik / hutan hujan tropika
LokasiAyer Keroh, Melaka
Keluasan92.5 hektar
Dibangunkan
17 April 1984
Dikendalikan olehMajlis Perbandaran Hang Tuah Jaya
StatusBeroperasi
sunting

Taman Botanikal Melaka (sebelum ini dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh) ialah sebuah taman rekreasi terdiri daripada kawasan hutan yang dirizabkan dan taman landskap yang menjadi tarikan pengunjung sebagai kawasan untuk beriadah. Taman ini dihubungkan dengan laluan utama Lebuh Ayer Keroh yang mengambil masa kira-kira 5 minit perjalanan dari Plaza Tol Ayer Keroh Lebuhraya Utara-Selatan dan terletak bersebelahan dengan Muzium Lebah Sedunia dan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.

Kawasan hutan yang terdapat di Taman Botanikal Melaka mengandungi beberapa spesis pokok hutan hujan tropika seperti pokok Merawan siput jantan (Hopea odorata Roxb), pokok Kempas (Koompassia malaccensis), pokok Meranti tembaga (Shorea leprosula) dan pokok Mersawa merah (Anisoptera megistocarpa). Selain itu, beberapa taman mini dibangunkan dalam taman ini seperti Taman Cerita, Taman Dinosaur dan Taman Permainan Kanak-Kanak. Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 300 spesis flora dan fauna yang direkodkan pada tahun 2022.

Taman Botanikal Melaka diuruskan oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), manakala kontraktor SWM Environment dilantik sebagai kontraktor pembersihan untuk taman ini. Taman ini juga menempatkan sebuah agensi kerajaan iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Melaka yang terletak bersebelahan, selain terdapat Muzium Perhutanan yang dikendalikan jabatan ini. Taman ini mula dibuka pada bulan April 1984 dengan nama Hutan Rekreasi Air Keroh dan menawarkan kemasukan secara percuma. Pada bulan Jun 2006, Hutan Rekreasi Ayer Keroh dijenamakan semula kepada Taman Botanikal Melaka dan ia telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam.