Taman Buaya dan Rekreasi Melaka
2°16′37.0″N 102°17′52.0″E / 2.276944°N 102.297778°E
| Taman Buaya dan Rekreasi Melaka تامن بوايا دان ريكرياسي ملاك | |
|---|---|
Pintu masuk ke Taman Buaya Melaka | |
| Tarikh akan dibuka | Julai 1987 |
| Lokasi | Ayer Keroh, Melaka |
| Keluasan tanah | 3.5 hektar |
| Keahlian | MAZPA |
| Pemilik | ARTAC Holdings Sdn. Bhd. |
| Pengurusan | Taman Buaya & Rekreasi Sdn. Bhd. |
Taman Buaya Melaka (nama rasmi: Taman Buaya dan Rekreasi Melaka, disingkatkan sebagai TBRM) ialah sebuah zoo persendirian yang menempatkan pelbagai spesis buaya dan aligator sebagai tarikan utama serta beberapa spesis lain seperti burung dan haiwan reptilia. Taman ini terletak di Ayer Keroh di negeri Melaka, kira-kira 15 kilometer dari Bandaraya Melaka dan kira-kira 135 kilometer dari Kuala Lumpur. TBRM juga terletak berhampiran dengan Zoo Melaka dan Taman Botanikal Melaka serta bersebelahan dengan kedai rangkaian makanan segera, McDonald's.
Setakat tahun 2023, TBRM memiliki sebanyak 400 ekor haiwan dari pelbagai spesis. Daripada jumlah itu, terdapat lebih kurang 100 ekor buaya dan aligator dari spesis berbeza seperti Buaya Jejulung, Buaya Tembaga, Buaya Siam dan Buaya Caiman. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah memberi makan kepada buaya, melihat pertunjukan buaya serta bermain di taman tema yang terdapat di dalam zoo.
Tidak seperti kebanyakkan lokasi pelancongan lain di Melaka, Taman Buaya Melaka dimiliki oleh syarikat swasta iaitu ARTAC Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh anak syarikatnya, Taman Buaya & Rekreasi Melaka Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak tahun 1987. Kawasan seluas 3.5 hektar ini pernah diiktiraf sebagai taman buaya terbesar di Malaysia, serta memiliki beberapa kawasan tarikan di dalamnya seperti Aviari Burung, di mana spesis burung bebas berterbangan di dalam ruang sangkar besar serta Miniatur Malaysia yang menampilkan beberapa bangunan ikonik di Malaysia dalam saiz yang kecil.