Senarai konsert jelajah Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza merupakan penyanyi wanita Malaysia. Beliau telah mengadakan sebanyak 16 konsert utama di Malaysia. Konsert solo pertamanya, Konsert Live Siti Nurhaliza diadakan pada 30 Oktober 1999 di Stadium Putra, Bukit Jalil. Beliau sekali lagi menggegarkan Stadium Putra menerusi konsert solo keduanya Konsert Mega Siti Nurhaliza pada 30 Jun 2001. Pada Mei dan Jun 2002, beliau mengadakan konsert penghargaan untuk Allahyarham Sudirman Arshad sempena ulangtahun ke-10 kematiannya, Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudir di Istana Budaya.

Beliau juga menjayakan konsert di Singapura, Indonesia, dan England. Pada 2005, beliau terbang ke London, England untuk menjayakan konsertnya Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London yang berlangsung pada 1 April 2005 di Royal Albert Hall. Pada 2009, konsert jelajah keduanya, SATU Konsert Eksklusif Dato' Siti Nurhaliza diadakan selama tiga hari pada Jun 2009 bagi mempromosikan album ke-13 beliau, Lentera Timur yang dilancarkan setahun sebelumnya, sekaligus menjadi konsert teater pertama yang dijayakan oleh Siti.

Pada 2014, Datuk Siti mengadakan konsert amalnya, Dato' Siti Nurhaliza Live In KLCC: Where The Heart Is pada 7 dan 8 Februari yang bertujuan bagi mengumpul dana untuk Yayasan Nurjiwa bagi membantu mereka yang memerlukan. Mencari cabaran selanjutnya, konsert unplugged beliau yang diadakan pada 7 April 2015 menandakan penglibatan beliau dalam industri muzik Malaysia selama 20 tahun sejak memenangi Bintang HMI pada 1995. Konsert ini mendapat maklumbalas positif dari pengulas yang rata-ratanya memuji persembahan vokal beliau.