Senarai Sultan Johor
Sultan Johor ialah jawatan warisan dan raja pemerintah negeri Johor di Malaysia. Jawatan ini wujud apabila Kesultanan Johor Lama diasaskan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II pada tahun 1528. Namun, selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830, Johor menjadi negeri bebas dan dikuasai oleh Temenggung Johor yang sebelum ini dikurniakan Johor dan Singapura sebagai kawasan pegangannya pada tahun 1806.
Perjanjian Setia 1855 dan Perjanjian Pahang-Johor 1861 mengukuhkan dan mengabsahkan kedudukan Temenggung Johor sebagai Pemerintah Johor lalu menandakan bermulanya era Johor Moden. Pada tahun 1868, jawatan Temenggung Johor dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Maharaja Johor dengan perkenan Kesultanan Riau-Lingga yang merupakan kesinambungan Kesultanan Johor Lama. Melalui Perjanjian Inggeris-Johor 1885, jawatan Maharaja Johor dimansuhkan dan digantikan dengan jawatan Sultan Johor yang kemudian diisytiharkan penggunaannya ke seluruh Johor pada tahun 1886 lalu menandakan bermulanya Kesultanan Johor Moden.
Dalam sejarah Johor, Johor telah melalui dua era iaitu Johor Lama (1528 – 1830) dan Johor Moden (1855 – kini). Juga, terdapat tiga wangsa yang pernah memerintah Johor iaitu Wangsa Melaka-Johor (1528 – 1699 dan 1718 – 1722), Wangsa Bendahara (1699 – 1718 dan 1722 – 1830) dan Wangsa Temenggung (1855 – kini). Kini, Johor diperintah oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar daripada Wangsa Temenggung.