Sembahyang Yahudi

Sembahyang Yahudi (Ibrani: תְּפִלָּה, tefillah [tfiˈla]; jamak תְּפִלּוֹת tefillot [tfiˈlot]; sebutan Yiddish: [תּפֿלה] Templat:IPA-yi, jamak תּפֿלות tfilles [ˈtfɪləs]; Inggeris Yahudi: davening /ˈdɑːvənɪŋ/ daripada bahasa Yiddish דאַוון davn "sembahyang") ialah pembacaan sembahyang yang merupakan salah satu bentuk ibadat Yahudi Rabinik. Sembahyang-sembahyang ini boleh dijumpai dalam Siddur, kitab sembahyang Yahudi tradisional yang biasanya mengandungi arahan dan tafsir.

Sembahyang ialah satu "upacara hati"—iaitu melibatkan keikhlasan, takwa, khusyuk dan iman—dan telah diperintahkan dalam kitab Taurat. Ia tidak mempunyai waktu khusus untuk menunaikannya dan wajib untuk lelaki dan wanita Yahudi. Walau bagaimanapun, bacaan untuk lelaki dan wanita dibezakan dalam hukum rabinik: Lelaki Yahudi wajib sembahyang tiga kali sehari dalam jangka waktu tertentu (zmanim), sedangkan mengikut banyak pendapat wanita hanya diwajibkan untuk sembahyang sekali dua sehari, dan mungkin tidak perlu membaca bacaan tertentu.

Menurut cara tradisional, terdapat tiga sembahyang setiap hari:

  • Sembahyang pagi: Syakharit atau Syaharit (שַחֲרִית, "pagi")
  • Sembahyang petang: Minkha atau Minha (מִנְחָה), dinamakan sempena persembahan tepung yang menyertai korban di Bait Suci Baitulmuqaddis dahulu,
  • Sembahyang malam: Arvit (עַרְבִית, "malam, maghrib") atau Maariv (מַעֲרִיב, "penanda malam")

Dua sembahyang tambahan dibacakan pada Sabat dan hari perayaan:

  • Musaf (מוּסָף, "tambahan") dibacakan oleh jemaah Ortodoks dan Konservatif pada hari Sabat, hari raya Yahudi utama (termasuk Khol HaMoed), dan Rosy Khodesy.
  • Ne'ilah (נְעִילָה, "penutupan"), dibacakan hanya pada Yom Kippur.

Perbezaan dibuat antara sembahyang bersendirian dan sembahyang berjemaah, yang memerlukan korum yang dikenali sebagai minyan. Sembahyang berjemaah lebih utama kerana sesetengah bacaan yang tidak dibaca berseorangan dapat disertakan.

Menurut riwayat Yahudi, banyak bacaan standard kontemporari telah dikarangkan oleh para pendeta Perhimpunan Agung dari awal zaman Bait Suci Kedua (516 SM – 70 TM). Bahasa bacaan-bacaan ini, walaupun jelas dari zaman tersebut, sering menggunakan simpulan bahasa Alkitab. Rukun-rukun sembahyang untuk zaman sekarang telah dimantapkan pada era Tannaim (zaman pendeta dan ulama mengembangkan, mencatat dan mengulas syariat, hukum-hakam, riwayat dan tafsir Taurat, pada abad ke-1–2 TM), dengan beberapa penokokan dan bacaan berkenaan rahmat ditambahkan kemudian. Buku sembahyang Yahudi muncul pada awal Zaman Pertengahan semasa zaman Geonim Babylonia (abad ke-6–11 TM).

Sepanjang 2000 tahun yang lalu, kelainan tradisi telah muncul dalam adat liturgii—yakni pemujaan, ibadat, sembahyang—beberapa komuniti Yahudi, seperti Yahudi Ashkenaz, Sefardi, Yaman, Palestin dan lain-lain, ataupun liturgi yang agak baharu seperti Hasidut, dan Khabad. Walau bagaimanapun, perbezaannya kecil jika dibanding dengan persamaannya. Kebanyakan liturgi Yahudi dinyanyikan atau didikirkan dengan melodi tradisional atau trop. Saumaah boleh melantik atau mengupah seorang hazzan (pendikir) profesional atau orang awam untuk mengimami jemaah dalam sembahyang, terutamanya pada hari Sabat atau perayaan.