Om
Om (Sanskrit: ॐ, ओम्, rumi: Ōṃ ⓘ) ialah ucapan suci dalam agama Hindu malah simbol utamanya. Om merupakan satu simbol yang mempunyai pelbagai makna, mewakili bunyi suci, suku kata, mantra, dan seruan dalam agama Hindu. Bentuk tulisan Om dianggap sebagai simbol yang paling penting dalam agama Hindu. Ia merangkumi intipati kepada Tuhan Maha Mutlak, kesedaran suci, Ātman, Brahman, atau dunia kosmos..
Dalam tradisi agama-agama India, Om berfungsi sebagai lambang bunyi ketuhanan, piawaian autoriti Veda, serta teras kepada doktrin dan amalan soteriologi.. Ia merupakan alat utama untuk meditasi dalam Yoga menuju kebebasan rohani (moksha). Suku kata ini lazimnya digunakan di awal dan akhir bab dalam teks-teks suci seperti Veda, Upanishad dan teks Hindu yang lain.
Om berasal daripada korpus Veda dan dipercayai sebagai bentuk ringkas kepada nyanyian-nyanyian suci Samaveda. Ia dilafazkan sebagai seruan rohani sebelum dan semasa pembacaan teks-teks suci, sewaktu upacara penyembahan (puja) dan doa peribadi, dalam pelbagai upacara kehidupan (samskara) seperti perkahwinan, serta semasa amalan rohani dan meditasi seperti Pranava Yoga. Simbol ini turut menjadi sebahagian daripada ikonografi dalam manuskrip kuno dan zaman pertengahan, kuil, biara, serta pusat kerohanian dalam agama Hindu, Buddha, Jain dan Sikh.
Sebagai satu suku kata suci, Om sering dilafazkan secara bersendirian atau sebelum pembacaan rohani serta sewaktu meditasi dalam agama Hindu, Buddha, dan Jain. Suku kata ini juga dikenali dengan nama-nama lain seperti Onkara (Omkara) dan Pranava. Ilmu kepawangan orang Melayu zaman dahulukala mengenalnya sebagai هڠ hong atau اڠ ong.