Mandukya Upanishad

Mandukya Upanisad (Sanskrit: माण्डूक्योपनिषद्, IAST: Mandukyopanisad) merupakan yang terpendek dalam keseluruhan himpunan Upanishad, dan secara tradisinya dikaitkan dengan Atharvaveda. Ia disenaraikan sebagai teks keenam dalam kanun Muktika Upanishad yang merangkumi 108 buah Upanisad.

Teks ini ditulis dalam bentuk prosa dan terdiri daripada hanya dua belas ayat pendek, namun padat dengan makna, serta dikaitkan dengan satu aliran sarjana yang berakar dari Rigveda. Ia membicarakan tentang suku kata suci Om, memperkenalkan konsep turiya – iaitu “keadaan keempat” kesedaran yang melampau keadaaan jaga, mimpi, dan tidur lena – serta menegaskan bahawa Om adalah Brahman, iaitu keseluruhan yang mutlak, yang juga merupakan diri dalaman (Atman).

Menurut Muktika Upanishad , dalam satu dialog antara Rama dan Hanuman – dua tokoh agung dari epik RāmāyaṇaMandukya Upanishad dipuji sebagai satu-satunya teks yang mencukupi untuk mencapai moksha (pembebasan rohani). Ia turut disenaraikan dalam kelompok sepuluh Upaniṣad utama. Tambahan pula, teks ini menjadi sumber ilham kepada karya agung Mandukya Karika oleh Gaudapada, yang merupakan batu asas kepada mazhab Vedanta dalam falsafah Hindu.

Mandukya Upanishad merupakan antara teks yang sering dirujuk dalam perbincangan mengenai kronologi serta hubungan falsafah antara agama Hindu dan Buddha.