Kongzi

Kongzi
孔子
Gambaran Kongzi oleh Wu Daozi, abad ke-8 M
Kelahiran
Kong Qiu

s. 551 SM
Zou, Lu (kini Qufu, Shandong)
Meninggal duniasekitar 479 SM (berumur 71–72 tahun)
Sungai Si, Lu
FalsafahFalsafah Cina
SekolahKonfusianisme
Kepentingan utama

Kongzi (孔子; pinyin: Kǒngzǐ; har. Tuan Kong, bahasa Latin: Confucius disebut [kon.fu.ki.us atau kon.fiu.syĕs]; s. 551 – s. 479 SM, nama lahir: 孔丘 Kong Qiu) adalah seorang ahli falsafah Cina dari Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh yang secara tradisional dianggap sebagai contoh unggul orang bijak Cina. Sebahagian besar warisan budaya bersama dalam Sinosfera berasal daripada falsafah dan ajaran Konfusius. Ajaran falsafahnya yakni Konfusianisme menekankan moral peribadi dan pemerintahan, hubungan sosial yang harmoni, kebenaran, kebaikan hati, keikhlasan, serta tanggungjawab pemerintah untuk memimpin dengan kebajikan.

Kongzi menganggap dirinya sebagai penyampai nilai-nilai masyarakat zaman dahulu yang kononnya telah lama ditinggalkan. Beliau menekankan pentingnya berbakti kepada ibu bapa, menyokong kesetiaan keluarga yang kukuh, penghormatan kepada datuk moyang, serta penghormatan anak-anak kepada orang tua dan isteri kepada suami. Kongzi menganggap institusi keluarga yang kukuh sebagai asas kepada kerajaan yang ideal. Beliau juga mengajar Peraturan Perak iaitu lawan Peraturan Emas, dengan pesanan, "Jangan lakukan kepada orang lain apa yang kamu tidak mahu orang lain lakukan kepada kamu sendiri."

Zaman Kongzi hidup menyaksikan Seratus Aliran Pemikiran yang kaya, dan merupakan tempoh pembentukan penting dalam sejarah intelektual China. Idea-ideanya menjadi semakin terkenal semasa Zaman Negeri-Negeri Berperang, tetapi mengalami kemunduran selepas pembakaran buku dan pembunuhan sarjana di bawah titah Maharaja Qin Shi Huang penguasa Dinasti Qin. Di bawah pemerintahan Maharaja Wu dari Han, idea Kongzi mendapat pengiktirafan rasmi, dengan karya-karyanya menjadi bacaan wajib bagi mereka yang ingin memasuki kerjaya perkhidmatan awam. Semasa Dinasti Tang dan Dinasti Song, Konfusianisme berkembang menjadi sistem yang dikenali di Barat sebagai Neo-Konfusianisme. Pada abad ke-20, satu gerakan intelektual muncul di Republik China yang berusaha mengaplikasikan ideologi Konfusian dalam konteks moden, dikenali sebagai Konfusianisme Baru. Dari zaman purba hingga era moden, Konfusianisme telah menjadi sebahagian daripada budaya dan cara hidup masyarakat Cina. Nilai-nilai ajarannya terkenal di China, berbanding dengan Taoisme, sewaktu zaman dinasti Han. Falsafah Konfusianisme turut diperkenalkan kepada dunia Barat oleh seorang mubaligh Jesuit bernama Matteo Ricci.

Secara tradisional, Kongzi dikreditkan sebagai pengarang atau penyunting banyak teks kuno termasuk semua Lima Klasik. Namun, sarjana moden berhati-hati dalam mengaitkan pernyataan tertentu secara langsung kepadanya, kerana sebahagian teks dan falsafah yang dikaitkan dengannya mungkin berasal dari zaman yang lebih lama. Pepatah-pepatah ajarannya dikumpulkan hanya bertahun-tahun selepas kematiannya.