Sejarah Johor Moden

Sejarah Johor Moden atau Zaman Johor Moden atau Era Johor Moden atau Negeri Johor Moden merupakan satu zaman di mana negeri Johor tidak lagi berada di bawah pemerintahan Kesultanan Johor Lama yang pada ketika itu telah menjadi Kesultanan Riau-Lingga selepas termeterainya Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu.

Sejarah Johor Moden boleh dibahagikan kepada tiga kerajaan iaitu:

  1. Kerajaan Temenggung Johor (1855–1868);
  2. Kerajaan Maharaja Johor (1868–1886); dan
  3. Kesultanan Johor Moden (1886–kini)

Ketiga-tiga kerajaan di atas dipimpin oleh Wangsa Temenggung Johor. Temenggung Johor merupakan salah seorang pembesar tertinggi Kesultanan Johor Lama dan beliau dikurniakan negeri Johor dan Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya sebagai kawasan pemakanannya (kawasan pembesar mengutip cukai). Selepas tahun 1830, Temenggung Johor berkuasa penuh ke atas Johor dan beliau mengukuhkan lagi kedudukannya hingga waris dan keturunannya menjadi Sultan Johor pada hari ini.