Kala Malam Bulan Mengambang

Kala Malam Bulan Mengambang
Poster keluaran tayangan
PengarahMamat Khalid
PenulisMamat Khalid
Lakon layarMamat Khalid
Dihasilkan olehGayatri Su-Lin Pillai (eksekutif)
Dibintangi
SinematografiRaja Mukhriz
Disunting olehAffandi Jamaluddin
Muzik oleh
  • Ahmad Kamal Baharudin
  • Mamat Khalid
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
  • 10 Januari 2008 (2008-01-10) (Malaysia)
Masa tayangan
110 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.4 juta
Pecah panggungRM 554,000

Kala Malam Bulan Mengambang (juga disingkat sebagai KMBM atau dipendekkan sebagai Kala Malam) merupakan sebuah filem komedi neo-noir Malaysia 2008 arahan sulung Mamat Khalid yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip. Dibintangi oleh Rosyam Nor, Umie Aida dan Farid Kamil, filem ini mengisahkan mengenai Saleh, seorang wartawan yang diberhentikan kerja oleh syarikat penerbitannya. Namun, untuk membuktikan bahawa dia masih berbisa, Saleh telah pergi ke sebuah kampung untuk menyelesaikan misteri kehilangan pemuda-pemuda di kampung terbabit. Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Bront Palarae, Adam Corrie Lee dan Sofi Jikan melakonkan watak pembantu.

Idea untuk filem ini hadir apabila Mamat menyatakan keinginannya untuk menghasilkan sebuah filem dalam bentuk hitam putih sebaik sahaja filem Man Laksa arahannya ditayangkan kepada umum. Diterbitkan dengan belanjawan sebanyak RM1.4 juta, KMBM menjadi filem pertama seumpamanya sejak penerbitan terakhir filem hitam putih pada sekitar 1970-an. Ia diterbitkan khas sebagai menghargai pelakon-pelakon generasi terdahulu dan merupakan filem cereka pertama dalam era teknologi maklumat yang diterbitkan dalam gaya noir atau hitam putih bagi menyesuaikan kronologi penceritaan filem ini yang berlatarkan tahun 1950-an dan menekankan penceritaan berkaitan jenayah, gangsterisme, detektif, misteri dan komedi.

Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur dan Tronoh, Perak dari Mac sehingga Mei 2007. Filem ini ditayangkan pada 10 Januari 2008 oleh Tayangan Unggul dan menerima pelbagai ulasan positif serta telah mewujudkan pelbagai reaksi dan perdebatan. Ia telah memenangi 7 anugerah di Festival Filem Malaysia ke-21 dan 3 anugerah di Anugerah Skrin 2008.