KAMI
Projek KAMI ialah sebuah projek tiga lapis yang dianjurkan bagi mempromosi artis muzik indie dan muzik underground di Malaysia. Ia merupakan usahasama syarikat televisyen 8TV, syarikat rakaman Monkey Bone Records dan syarikat penerbitan Redfilms, dengan kerjasama Nokia (siri TV, 2007) dan Hotlink (filem, 2008). Tujuan inisiatif KAMI diadakan adalah memaparkan perjuangan kumpulan-kumpulan pemuzik bebas dan mempromosikan muzik bebas itu. Ia diterajui oleh Ahmad Izham Omar, ketua pegawai operasi 8TV.
Projek KAMI terdiri daripada sekurang-kurangnya empat komponen yang dilaksanakan dari tahun 2007 hingga 2008 iaitu: KAMI - The Series, sebuah siri drama televisyen; KAMI - The Gigs; sebuah wadah khas persembahan muzik secara langsung sempena siri drama tersebut; KAMI - The Album yang menampilkan agu dendangan pemuzik indie yang dijadikan runut bunyi siri drama tersebut; dan filem KAMI - The Movie yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2008.