Anugerah Skrin 2003

Edisi kelapan Anugerah Skrin telah berlangsung pada 24 Ogos 2003 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra dan dihadiri oleh penggiat seni lakon dan perfileman Malaysia. Acara gilang-gemilang itu memberi pengiktirafan kepada pencapaian pelakon dan penggiat drama/filem tempatan sejajar dengan objektif TV3 memberikan program terbaik. Anugerah kali ini meliputi 10 telefilem terbaik yang disiarkan melalui slot Cerekarama ini stesen televisyen itu dan filem terbitan tempatan yang ditayangkan di pawagam antara Januari hingga Disember 2002.

Majlis yang diacarakan oleh Ellie Suriaty Omar dan Aznil Nawawi itu dihiburkan dengan persembahan artis seperti Yusri Abdul Halim, gandingan suara Tan Sri S M Salim dan M. Nasir serta penyanyi terkenal Indonesia, Ruth Sahanaya serta sketsa oleh barisan pelawak terkenal seperti Senario, Zul Yahya, Yusni Jaafar serta Khatijah Tan. Antara tetamu khas yang hadir, Pengerusi TV3, Datuk Seri Syed Anuar Jamalullai dan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Farid Redzuan. Penyampaian anugerah itu disiarkan secara langsung selama hampir dua jam setengah di TV3 mulai jam 3 petang.