Agar-agar

Jeli kacang merah izuyōkan dari Jepun yang diperbuat dari agar-agar
Piring-piring Petri diisi agar-agar darah yang diinokulasi bakteria.

Agar-agar (Jawi: اݢر٢) merupakan bahan pemekat seperti gelatin yang dihasilkan dari beberapa jenis alga dalam filum Rhodophyta seperti genus-genus Gracilaria, Eucheuma, dan keluarga Gelidiaceae. Alga-alga agarofit ini menghasilkan polisakarida yang terkumpul pada dinding-dinding sel menyokong struktur utamanya. Agar merupakan campuran polisakarida agarose dan campuran dua molekul lebih kecil yang dipanggil agaropektin. Dari segi istilah kimia, agar merupakan polimer yang terdiri dari unit kecil gula galaktosa.

Sepanjang sejarah sehingga masa kini, agar-agar merupakan bahan utama sebagai kuih dan pencuci mulut di seluruh Asia dan juga sebagai substrat pepejal bagi bahan medium pertumbuhan bagi kerja mikrobiologi. Agar-agar juga boleh digunakan sebagai pelawas, pengganti gelatin vegetarian, pemekat sup, pengawet buah, aiskrim, dan pencuci mulut yang lain, sebagai bahan pencerah dalam penapaian, dan pelicin kertas dan kain. Malaysia telah mengeksport agar-agar ke China sejak tahun 1939 lagi, biasanya dalam bentuk kering sebelum di proses dengan lebih lanjut di sana.