Khutbah (Kristian)
| Sebahagian daripada siri tentang |
| Kristian |
|---|
| Portal Kristian |
Khutbah atau homili (daripada bahasa Yunani ὁμιλία, homilía) ialah penerangan atau ulasan selepas pembacaan kitab suci, memberikan "penjelasan umum tentang doktrin suci" atau teks. Karya-karya Origen dan John Chrysostom (dikenali sebagai Homili Paskah) dianggap contoh terbaik khutbah Kristian.
Khutbah diberikan oleh seorang paderi kepada para penganut dalam jemaah semasa sembahyang di gereja. Paderi mungkin juga akan membincangkan masalah-masalah semasa komuniti, dan memberi panduan untuk mengatasinya.
Dalam gereja Katolik, Anglikan, Lutheran dan Ortodoks Timur, khutbah biasanya disampaikan semasa Misa (Liturgi Ilahi atau Qurbana Kudus untuk Gereja Ortodoks dan Katolik Timur, dan Ibadat Ilahi untuk Gereja Lutheran) pada akhir Liturgi Firman.
Perkataan homili berasal daripada Inggeris, daripada perkataan Yunani Purba ὁμιλία homilia, yang bermaksud interaksi atau pergaulan dengan orang lain (berasal daripada perkataan homilos, bermaksud "perhimpunan"). Perkataan ini digunakan dalam 1 Korintus 15:33 ("homiliai jahat merosakkan akhlak baik"). Kata kerja berkaitan digunakan dalam Lukas 24:14 (sebagai homiloun), dan dalam Kisah Para Rasul 24:26 (sebagai homilei), kedua-duanya digunakan dalam erti "bercakap dengan". Perkataan ini kemudiannya mendapat maksud yang lebih khusus. Menurut The Catholic Encyclopedia, Origen ialah orang pertama yang membezakan antara logos ("sermo", lebih mirip ceramah rasmi) dan homilia ("tractatus", lebih mirip tazkirah).