Pekan Cina

Pekan Cina
Pekan Cina Manhattan di New York mempunyai bilangan penduduk berbangsa Cina paling ramai di luar Asia.
Bahasa Cina唐人街
Maksud harfiah"Jalan Orang Tang"
Alternative Chinese name
Tulisan Cina Tradisional中國城
Tulisan Cina Ringkas中国城
Maksud harfiah"Bandar China"
Second alternative Chinese name
Tulisan Cina Tradisional華埠
Tulisan Cina Ringkas华埠
Maksud harfiah"Daerah Cina"

Pekan Cina (Cina: 唐人街), juga dikenali sebagai Chinatown, Zhonghua Jie (中華街), Hua Bu (華埠), atau Zhongguo Cheng (中國城), ialah istilah umum bagi kawasan enklaf etnik yang dihuni oleh masyarakat kaum Cina di luar wilayah China Raya, kebiasaannya terletak di kawasan bandar. Walaupun digelar "pekan" atau "jalan", kawasan ini selalunya merujuk kepada sebuah komuniti kejiranan yang lebih besar, dan bukan sekadar satu jalan sahaja. Istilah yang lebih sesuai dalam konteks geografi dan sosiobudaya ialah "kawasan penempatan masyarakat Cina" atau "daerah Cina".

Pekan Cina wujud di serata dunia termasuk Eropah, Asia, Afrika, Oseania, dan Benua Amerika. Kebanyakan Pekan Cina terbentuk hasil daripada migrasi manusia ke sesuatu kawasan yang sebelumnya tidak mempunyai atau hanya mempunyai sedikit penduduk Cina. Ia lazimnya terbentuk pada era kolonial atau awal penghijrahan orang Cina ke luar negara, dan kini menjadi simbol warisan dan identiti diaspora Cina. Kebanyakan komuniti ini terbentuk berikutan diskriminasi sosial atau dasar perundangan seperti undang-undang pemilikan tanah yang membataskan pergerakan dan pemilikan hartanah kaum minoriti seperti orang Cina. Oleh itu, mereka memilih untuk tinggal berkelompok bagi saling membantu dari segi ekonomi, budaya, dan keselamatan.

Binondo di Manila, Filipina yang diasaskan pada tahun 1594, diiktiraf sebagai Pekan Cina tertua di dunia. Antara contoh awal yang terkenal di luar Asia ialah Pekan Cina San Francisco's di Amerika Syarikat dan Pekan Cina Melbourne's di Australia, yang kedua-duanya ditubuhkan pada awal tahun 1850-an ketika era lombong emas California dan lombong emas Victoria.

Contoh yang lebih moden ialah di Montville, Connecticut, yang terbentuk akibat perpindahan pekerja Cina dari Pekan Cina Manhattan di New York berikutan serangan 11 September 2001.

Di rantau Asia Timur, Jepun dan Korea Selatan menggunakan istilah 中華街 ("Zhonghua Jie" atau "Jalan Cina") untuk merujuk kepada kawasan serupa. Contohnya, Pekan Cina Yokohama di Jepun merupakan Pekan Cina terbesar di Asia.

Di Asia Tenggara, penghijrahan awal orang Cina telah menghasilkan banyak komuniti Cina yang telah lama berasimilasi, namun beberapa kawasan seperti Pekan Cina di Singapura (juga dikenali sebagai Kreta Ayer, Niu Che Shui) dan Pekan Cina di Kuala Lumpur (Jalan Petaling) masih mengekalkan identiti sebagai pusat budaya dan perniagaan masyarakat Cina. Walau bagaimanapun, sebahagian pengkaji berpendapat bahawa tidak semua kawasan ini wajar digelar "Pekan Cina" secara mutlak, kerana banyak komuniti Cina di Asia Tenggara telah pun menyebar luas ke seluruh kawasan bandar dan tidak tertumpu kepada satu daerah sahaja.

Hari ini, banyak Pekan Cina lama berdepan dengan cabaran seperti penghijrahan keluar, penuaan penduduk, gentrifikasi, dan kehilangan fungsi asal sebagai kawasan transisi imigran. Sesetengah Pekan Cina kini lebih bersifat tarikan pelancong dan simbol warisan sejarah berbanding sebagai komuniti Cina aktif.